Minyak wangi, pelembap badan tiruan bernilai lebih RM80,000 dirampas

Sepasukan anggota dan pegawai penguat kuasa KPDNHEP memeriksa sebuah premis dalam operasi membanteras barang tiruan, pada Rabu lalu.
Sepasukan anggota dan pegawai penguat kuasa KPDNHEP memeriksa sebuah premis dalam operasi membanteras barang tiruan, pada Rabu lalu.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas pelbagai minyak wangi dan pelembap badan masing-masing tiruan bernilai lebih RM80,000 dalam satu operasi di sekitar Ipoh, pada Rabu.

Pengarah KPDNHEP negeri, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, rampasan tersebut dibuat sepasukan 15 pegawai dan anggota penguat kuasa agensi terbabit menerusi operasi membanteras barang tiruan itu.

Menurutnya, operasi yang turut disertai pemilik cap dagang itu berjaya menghasilkan tiga kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019 di tiga premis berbeza.

"Hasil pemeriksaan lanjut di tiga lokasi tersebut menemui sebanyak 3,400 unit minyak wangi pelbagai jenis dan 426 unit pelembap badan pelbagai jenis yang disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah.

"Selain itu, turut dirampas tanda harga, resit-resit dan dokumen perniagaan di premis terbabit. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM80,375," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Saifullizan berkata, semua kes tersebut disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 di bawah kesalahan Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 Akta yang sama.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar sekiranya yang terlibat merupakan pertubuhan perbadanan.

Katanya, jika kesalahan dilakukan kali kedua, denda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.

"Sekiranya individu terlibat bukan pertubuhan perbadanan, mereka akan didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun tiada tangkapan dibuat susulan operasi tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan, boleh menyalurkannya kepada KPDNHEP melalui saluran-saluran ditetapkan.