2,463 koperasi sekolah catat nilai aset RM416.86 juta

Mohamad Alamin (tengah) bergambar bersama Johan Pertandingan Akhir Deklamasi Sajak Koperasi Sekolah 2022 Peringkat Kebangsaan.
Mohamad Alamin (tengah) bergambar bersama Johan Pertandingan Akhir Deklamasi Sajak Koperasi Sekolah 2022 Peringkat Kebangsaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 2,463 koperasi sekolah berdaftar dengan jumlah keanggotaan 1.97 juta orang dengan nilai aset berjumlah RM416.86 juta dan perolehan mencecah RM318.6 juta.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, jumlah itu juga merangkumi modal syer dan yuran terkumpul mencecah RM29.6 juta.

Kata Mohamad, ia membuktikan koperasi sekolah berjaya membentuk usahawan koperasi pada usia muda di samping mengimbangi aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bangga dengan kesungguhan dan minat yang diterjemahkan anggota koperasi sekolah sehingga berjaya menunjukkan pencapaian cemerlang dan berada pada tahap yang membanggakan,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Akhir Deklamasi Sajak Koperasi Sekolah 2022 Peringkat Kebangsaan Sempena Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi bertempat di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa), Kelana Jaya.

Beliau berkata, penglibatan pelajar dalam koperasi sekolah mampu memupuk bakat keusahawanan mereka sekali gus berupaya menjana pendapatan koperasi sekolah dan menyumbang peningkatan ekonomi negara.

Ujarnya, koperasi sekolah merupakan wadah terbaik dalam mengembangkan kebolehan dan bakat pelajar dalam bidang keusahawanan.

“Dalam memupuk bakat keusahawanan pelajar, nilai amanah, jujur, prihatin dan kegigihan menjadi teras kepada mewujudkan golongan usahawan berjaya.

“Ini merupakan ciri terpenting dalam menjayakan hasrat kerajaan melonjakkan ekonomi negara pada masa akan datang tanpa mengabaikan prinsip dan jati diri koperasi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah memaklumkan, model koperasi sekolah di peringkat ASEAN bakal diwujudkan tidak lama lagi sebagai usaha memperkasakan peranan koperasi itu di mata dunia.

“Dalam usaha ini KPM, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkasa perlu memainkan peranan lebih efektif dalam meneroka potensi koperasi sekolah mencapai sumbangan perolehan yang setanding dengan koperasi dewasa dan lebih berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Pertandingan Akhir Deklamasi Sajak Koperasi Sekolah 2022 Peringkat Kebangsaan tersebut menyaksikan Muhammad Adam Syakir Jalaludin dari Koperasi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungkai Berhad dinobatkan sebagai Johan dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000, trofi dan sijil penyertaan.

Hadir sama antaranya, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM, Ida Hairani Bakar; Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jasmin Abd Shukor dan Timbalan Presiden Angkasa, Profesor Madya Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik.