BN belum bincang pembahagian kerusi, calon

Mohamad (kanan) ketika sidang akhbar selepas selesai mengadakan pertemuan antara kepemimpinan BN pada Jumaat.
Mohamad (kanan) ketika sidang akhbar selepas selesai mengadakan pertemuan antara kepemimpinan BN pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Barisan Nasional (BN) belum membuat perbincangan mengenai pembahagian kerusi dan calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun perbincangan awal mengenainya dengan parti komponen BN sudah dilakukan.

"Tumpuan utama kita adalah untuk memastikan jentera parti bersedia untuk menghadapi PRU.

Pendekatan dan strategi mesti betul, bukan nak bersuka ria, berpesta tetapi nak menang.

"Kami belum lagi bercakap tentang pembahagian kerusi dan calon, ia diputuskan di peringkat Dewan Tertinggi BN, akan dibincangkan dan di situ ada persefahaman," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai mengadakan pertemuan antara kepemimpinan BN pada Jumaat.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan yakin parti berkenaan mampu merampas kembali negeri itu pada PRU15 dan ia menjadi keutamaan ketika ini.

“Susunan kerja parti adalah penting, jangan sambil lewa kerana bagi kami negeri ini boleh diambil balik.

"Kita kalah hari itu pun tanpa sebab, masalah dalaman parti kena selesai dulu.

"Kita boleh menang semula Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, begitu juga Lenggeng, Kuala Klawang dan Pilah,” katanya.

Pada PRU14 Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan kerajaan Negeri Sembilan selepas memenangi 20 kerusi DUN daripada 36 kerusi yang dipertandingkan, manakala 16 kerusi lagi dimenangi BN.