Tiada lagi YB 'katak'

RUU larangan bertukar parti yang diluluskan Dewan Rakyat pada Khamis bakal memberi keyakinan kepada pengundi bahawa wakil rakyat yang dipilih kelak tidak akan melompat parti.
RUU larangan bertukar parti yang diluluskan Dewan Rakyat pada Khamis bakal memberi keyakinan kepada pengundi bahawa wakil rakyat yang dipilih kelak tidak akan melompat parti.
A
A
A

KESEPAKATAN 209 ahli Parlimen untuk menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan pada Khamis memberi gambaran jelas bahawa ahli Yang Berhormat (YB) mengamalkan politik matang.

Walaupun perbincangan mengenainya agak panas ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kabinet menangguhkan pembentangan RUU berkenaan sebanyak dua kali, ia bagaimanapun berbaloi apabila majoriti ahli Parlimen sebulat suara menyokong ia diluluskan.

Situasi ini bakal memberikan gambaran awal bahawa selepas ini negara mungkin tidak lagi berdepan dengan isu ketidakstabilan politik seperti yang berlaku kebelakangan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga memuji tindakan ahli Parlimen terlibat yang dilihat telah meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam apa juga perancangan serta pelaksanaan.

Justeru melihat kepada keputusan ini secara tidak langsung akan memberi keyakinan kepada rakyat mengenai kerajaan yang akan dilindungi daripada ‘drama’ ahli Parlimen bertukar parti.

Selain itu ia memberi keyakinan kepada pengundi bahawa wakil rakyat yang dipilih kelak tidak akan melompat parti sekali gus mewujudkan suasana politik demokrasi yang lebih stabil dan berintegriti.

RUU ini menetapkan ahli Dewan Rakyat yang keluar daripada suatu parti politik dalam suatu gabungan, dan menyertai parti politik yang lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza, akan terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi.

Seperti yang ditegaskan Wan Junaidi, ini kerana keanggotaan seseorang ahli Dewan Rakyat merujuk kepada keanggotaan dalam sesebuah parti politik, tidak kira sama ada parti politik itu merupakan anggota sesebuah parti gabungan atau tidak.

Oleh yang demikian menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak, diharap tiada lagi drama ahli Parlimen menjadi ‘katak’, lompat parti sana, masuk parti sini demi memastikan negara kembali merasai kestabilan politik yang terbaik.

Ingatan untuk ahli Yang Berhormat, peganglah amanah sebaiknya dan kembalikan semula keyakinan rakyat kepada anda.