Laporan penyakit pekerjaan naik tujuh kali ganda: JKKP

Mohd Hatta (tengah) ketika hadir merasmikan Seminar Perkongsian Kes Penyakit Pekerjaan dan Amalan Terbaik Industri Peringkat Zon Timur 2022 di sini pada Khamis.
Mohd Hatta (tengah) ketika hadir merasmikan Seminar Perkongsian Kes Penyakit Pekerjaan dan Amalan Terbaik Industri Peringkat Zon Timur 2022 di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA NERUS - Terdapat peningkatan tujuh kali ganda jumlah pelaporan penyakit dan keracunan pekerjaan yang diterima Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam tempoh 10 tahun iaitu 1,198 kes pada tahun 2011 kepada 9,822 pada tahun lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) JKKP, Ir Mohd Hatta Zakaria berkata, daripada jumlah itu sebanyak 5,289 kes merupakan penyakit pekerjaan yang telah disahkan pada tahun 2021.

Menurutnya, JKKP telah menerima 4,928 kes pelaporan penyakit pekerjaan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini dan 2,042 daripadanya telah disahkan sebagai penyakit pekerjaan.

“Berdasarkan data penyakit pekerjaan yang disahkan tahun ini, sebanyak 1,273 kes atau 62.3 peratus adalah berkaitan masalah pendengaran disebabkan kebisingan pekerjaan manakala 35 kes atau 1.7 peratus adalah masalah tulang, otot pekerjaan.

“ 29 kes atau 1.4 peratus lagi berkaitan dengan pendedahan kepada bahan kimia berbahaya kepada kesihatan,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Perkongsian Kes Penyakit Pekerjaan dan Amalan Terbaik Industri Peringkat Zon Timur 2022 pada Khamis.

Mohd Hatta berkata, Kementerian Sumber Manusia menerusi JKKP sentiasa berusaha ke arah meningkatkan kesedaran majikan, pekerja dan pengamal perubatan untuk melaporkan kes-kes penyakit dan keracunan di tempat kerja.

Katanya, salah satu indikator peningkatan kesedaran dalam aspek ini adalah peningkatan bilangan Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) berdaftar iaitu daripada 483 pada tahun 2011 kepada 1,085 pada tahun 2021.

Selain itu, beliau menjelaskan, JKKP turut menjalankan 13,407 aktiviti penguatkuasaan dan pemeriksaan kesihatan pekerjaan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini antaranya pemeriksaan kebersihan industri, penguatkuasaan perundangan pengurusan kimia, pemeriksaan ergonomik dan pemeriksaan kesihatan pekerja asas.

“Kes penyakit pekerjaan memberi implikasi dari aspek kewangan yang perlu ditanggung oleh pekerja, keluarga pesakit, majikan dan kerajaan.

“Ia juga turut melibatkan kos tersembunyi yang besar terhadap organisasi dengan peningkatan pusing ganti, ketidakhadiran pekerja, pengurangan prestasi dan kemungkinan menyumbang kepada kemalangan di tempat kerja.

“Oleh itu, adalah penting untuk melaksanakan penilaian dan pengawalan risiko menyeluruh dan komprehensif di tempat kerja bagi memastikan tahap kesihatan pekerja dapat ditingkatkan sekaligus mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat serta kondusif,” katanya.