RareTV teruskan misi kembara artik Ogos depan

Saiful (lima dari kiri) bergambar bersama rakan penaja dan tetamu yang hadir pada pelancaran Kembara Artik RareTV pada Khamis.
Saiful (lima dari kiri) bergambar bersama rakan penaja dan tetamu yang hadir pada pelancaran Kembara Artik RareTV pada Khamis.
A
A
A

KAJANG - Bermula sebagai saluran media dalaman buat tontonan anak-anak Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP), saluran YouTube RareTV kini semakin mendapat tempat di hati penonton.

Pengasas RareTV, Saiful Nang berkata, RareTV bernaung di bawah RPWP dan syarikat pelancongan, Rarecation membawakan siri video travelog pengembaraan di dalam dan luar negara untuk tontonan anak-anak khususnya yang terkurung disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun menurutnya, kandungan saluran YouTube itu berjaya menarik perhatian bukan hanya penonton dalam negara tetapi juga dari Indonesia, Singapura dan Brunei.

"Saluran telah bermula pada 2018 namun berjaya menarik pengikut YouTube pada 2020 yang kini telah mendapat 225,000 pengikut dengan dua juta tontonan setiap bulan.

"80 peratus penonton dari Malaysia, 14 peratus dari Indonesia dan bakinya dari Singapura dan Brunei.

'Ia turut ditonton warga Malaysia yang menetap di luar negara," katanya pada Pelancaran Kembara Artik RareTV di RPWP Kampung Sungai Ramal Dalam di sini pada Khamis.

Saiful (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan penaja Kembara Artik pada Khamis.
Saiful (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan penaja Kembara Artik pada Khamis.

Beliau berkata, lebih 10 negara telah diteroka antaranya Turkiye, Palestin, Switzerland, Pakistan, Sepanyol, Morocco, New Zealand dan Itali yang bukan sekadar memaparkan lokasi pelancongan menarik tetapi turut menyajikan kandungan berbentuk pendidikan dan kehidupan untuk memberikan inspirasi kepada penonton.

Menyusul katanya, krew RareTV akan membawa misi ke Iceland dan Norway menerusi kembara Artik dan antara lokasi menarik yang akan diteroka termasuk Grimsey dan Pulau Svalbard.

"Kembara ke Norway akan bermula 2 Ogos ini, manakala Iceland pada 4 Ogos yang setiap kumpulan terdiri daripada dua hos bersama dua peserta.

"Pengembaraan Iceland diketuai saya dibantu Syibli Milasi R Muhamad Fakih bersama dua usahawan, Fared Masrom dari Port Dickson dan Osman Ali dari Singapura.

"Kembara ke Norway dan Pulau Svalbard pula diketuai Akhmal Asyraf Mohd bersama Shauqi Hasan bersama usahawan, Zarif Azrie Zahari dan Zarul Shafiz Zahari yang akan melakukan misi berbaju Melayu sehingga hujung dunia," katanya.

Tambahnya, pengembaraan akan berlangsung selama 20 hari dan akan disiarkan secara 13 episod bermula September pada Selasa dan Jumaat.