AUG 2022: Malaysia sapu bersih dua emas acara badminton

MUHAMMAD ZULKARNAIN MOHD AZMAN

Ng Jun Yan ketika beraksi dalam acara berpasukan badminton lelaki di temasya AUG 2022.
Ng Jun Yan ketika beraksi dalam acara berpasukan badminton lelaki di temasya AUG 2022.
A
A
A

SKUAD badminton negara menyapu bersih dua emas yang dipertandingkan pada hari ketiga temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022, apabila mengungguli acara berpasukan lelaki dan perempuan.

Pada aksi yang berlangsung di dewan badminton Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat, Thailand, skuad badminton lelaki negara terlebih dahulu menyumbang pingat emas apabila menewaskan Indonesia 3-0.

Dalam acara berpasukan lelaki itu, perseorangan lelaki pertama negara, Ng Jun Yan menghadiahkan mata pertama selepas menewaskan pemain Indonesia, Muhammad Febriansyah straight set 21-14, 21-4.

Momentum kemenangan itu diteruskan oleh pemain perseorangan negara, Tai Chuan Zhe yang turun pada perlawanan kedua dan tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Muhammad Rafi Zafran Ferary 21-18, 21-10.

Mata kemenangan Malaysia diraih oleh Faiz Rozain yang turun pada aksi ketiga selepas menewaskan Muhammad Nendi Novatino 21-16, 11-1 selepas pemain Indonesia itu terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Bagi acara wanita pula, skuad negara bangkit daripada ketinggalan untuk memenangi perlawanan akhir dengan keputusan 3-2 menewaskan pasukan Indonesia.

Mata Malaysia hadir menerusi acara beregu gandingan Desiree Siow-Ng Qi Xuan, Yap Rui Chen-Teoh Lexuan dan perseorangan wanita, Rui Chen.

“Sebenarnya tak sangka boleh menang ketiga-tiga perseorangan lelaki sebab ada antara pemain terbabit mengalami kecederaan. Mungkin kita bernasib baik pada hari ini kemenangan berpihak kepada Malaysia.

“Prestasi mereka secara keseluruhan, semuanya bersemangat untuk memperkuatkan pasukan dan sudah pastinya mahu menang,” kata ketua jurulatih badminton negara, Datuk Rashid Sidek.

Untuk rekod, skuad wanita negara berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi lalu yang berlangsung di Naypyidaw, Myanmar, manakala pasukan lelaki memperbaiki kedudukan selepas berpuas hati dengan pingat perak.