Mayat dalam Alphard: Polis selesai ambil keterangan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis selesai merakam keterangan 15 individu termasuk ahli keluarga dan rakan berhubung siasatan kes dua remaja yang ditemukan mati dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard di ruang parkir di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada Mei lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, hasil keterangan daripada semua individu terbabit mendapati kedua-dua remaja itu tiada kaitan dengan mana-mana penghuni kondominium atau pemilik parkir berkenaan.

"Kita masih (dalam proses) melengkapkan siasatan antaranya latar belakang kedua-dua remaja itu dan persekitaran mereka, selain masih menunggu laporan perubatan bagi mengetahui punca kematian.

"Keterangan dan siasatan itu perlu bagi mendapatkan kesimpulan kes sebelum melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika sidang akhbar selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Kuala Lumpur di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Istiadat penganugerahan itu disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Azmi berkata, siasatan punca kematian dua remaja itu mengambil masa yang lama kerana melibatkan agensi yang berbeza selain pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kimia.

Media sebelum ini melaporkan, dua remaja dikenali sebagai Ahmad Danish Hakeem Hanafiah dan Akmalharith Damia Zainul, masing-masing berusia 19 tahun dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing di Klang dan Shah Alam.

Kedua-dua remaja itu ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah MPV di ruang parkir bawah tanah sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras 29 Mei lepas.

Seramai 198 anggota dan pesara polis dianugerahkan PJPN bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam menjaga dan mengawal ketenteraman negara ketika zaman darurat dan era insurgensi komunis.

Azmi berkata, penganugerahan itu turut memupuk semangat dan memberi motivasi kepada anggota polis yang masih bertugas untuk meneruskan khidmat dengan lebih cemerlang. - Bernama