‘Memang ada kartel ayam’

Laporan Sinar Harian pada 24 Mei lalu. Gambar kecil: Alexander Nanta Linggi
Laporan Sinar Harian pada 24 Mei lalu. Gambar kecil: Alexander Nanta Linggi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengesahkan kewujudan ‘kartel’ yang bertindak mengawal harga dan pengeluaran bekalan ayam dalam negara seperti mana didedahkan sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, perincian lanjut mengenai hasil siasatan itu akan dimaklumkan sendiri oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

“Mungkin saya bukanlah orang yang boleh mendedahkan secara lanjut kerana ini (MYCC) adalah suruhanjaya tetapi memang kita difahamkan ada masalah (kartel) seperti yang dikatakan oleh Yang Berhormat.

“Bagaimanapun untuk perincian lanjut, biarlah kita tunggu MyCC akan buat pengumuman,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanyakan mengenai laporan yang mendakwa wujud kartel daripada 20 syarikat utama pengeluaran ayam di negara ini.

Pada 28 Jun lalu, MyCC menerusi pasukan khasnya mendedahkan sedang menilai laporan penyiasatan mengenai dakwaan kartel dalam industri ayam.

MyCC dalam kenyataan memaklumkan, suruhanjaya yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus dan lapan anggota MyCC telah bersidang untuk pembentangan laporan penyiasatan oleh pasukan khas berkenaan.

Menurut suruhanjaya itu, jika terdapat bukti kartel, keputusan cadangan mengikut Seksyen 36 Akta Persaingan 2010 akan dikeluarkan terhadap pihak berkenaan, namun jika tiada bukti yang menunjukkan unsur-unsur pelanggaran, MyCC akan menutup penyiasatan selaras dengan Seksyen 16 akta sama.