MSU, Uzbekistan jalin kerjasama kebudayaan

Penari kebudayaan Uzbekistan bergambar bersama Mohd Shukri (enam dari kanan) dan Ravshan (empat dari kiri).
Penari kebudayaan Uzbekistan bergambar bersama Mohd Shukri (enam dari kanan) dan Ravshan (empat dari kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Management & Science University (MSU) mengadakan kolaborasi kebudayaan bersama delegasi Uzbekistan menerusi penganjuran MSU International Cultural Festival, baru-baru ini.

MSU dalam satu kenyataan berkata, Festival kebudayaan yang diadakan selama seminggu itu dilaksanakan bagi mengenali lebih dekat kepelbagai kebudayaan dan tradisi negara berkenaan yang memiliki potensi besar dari segi demografik, ekonomi, pelancongan dan pendidikan.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov.

“MSU International Cultural Festival merupakan inisiatif bagi memberikan pendedahan kepada pelajarnya untuk menghargai seni dan persefahaman kebudayaan antara masyarakat berlainan bangsa dan agama, khususnya Uzbekistan.

“Ia juga platfom memperkasakan hubungan antara kedua negara yang berkongsi nilai, tradisi dengan pendidikan sebagai faktor perubahan utama.

“Kunjungan delegasi kebudayaan Uzbekistan ke MSU ini juga signifikan dalam meraikan 30 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan Uzbekistan yang bermula melalui pembukaan pejabat kedutaan Malaysia di Tashkent pada tahun 1992,” menurut kenyataan itu baru-baru ini.

Turut hadir pada festival berkenaan ialah pengurusan kanan MSU, wakil kedutaan Uzbekistan di Malaysia, pelajar serta kumpulan penari kebudayaan Uzbekistan yang didatangkan khusus ke Malaysia.

Penari kebudayaan Uzbekistan ketika membuat persembahan semasa penganjuran MSU International Cultural Festival.
Penari kebudayaan Uzbekistan ketika membuat persembahan semasa penganjuran MSU International Cultural Festival.

MSU memaklumkan, pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang seminggu delegasi Uzbekistan berada di MSU dalam mempromosikan kepelbagaian kebudayaan termasuk persembahan tarian tradisional, bahasa Uzbek, serta pameran pakaian kebangsaan.

Kebudayaan Uzbekistan yang unik dan kaya dengan nilai sejarah menyaksikan tarian Lazgi disenaraikan di bawah kategori warisan budaya tidak ketara dunia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (Unesco).

Selain itu, beberapa khazanah Uzbekistan lain yang turut tersenarai dalam Unesco termasuk daerah tenggara Boysun, muzik Shahmaqom, hidangan tradisional Palov, Askiya (seni budaya) dan lagu tradisi Katta Ashula.

Dalam pada itu, festival berkenaan turut menyaksikan persembahan tarian tradisional mengikut pelbagai etnik di Malaysia yang dipersembahkan oleh ahli MSU Performing Arts & Cultural Club (PACC).

Pada masa sama, kenyataan itu memaklumkan antara kerjasama pintar dilaksanakan MSU di Uzbekistan meliputi bidang farmaseutikal dan penjagaan kesihatan, pensijilan halal, latihan, pertanian dan penternakan.

“Manakala dalam bidang pendidikan pula menyaksikan kolaborasi MSU dengan rakan universiti di Uzbekistan seperti Navoi State Pedagogical Institute, Bukhara State University, Bukhara State Medical Institute dan Samarkand State Institute of Foreign Languages,” katanya.