Quartararo tunggu masa jalani ujian dengan Mercedes

Quartararo. - Foto Dorna
Quartararo. - Foto Dorna
A
A
A

KELIBAT juara MotoGP, Fabio Quartararo mungkin dilihat pada saingan Grand Prix (GP) Formula 1 (F1) pada masa akan datang apabila pelumba Perancis berusia 23 tahun itu dikatakan sedang menunggu masa untuk menjalani ujian dengan jentera Mercedes pada penghujung musim ini.

Perkhabaran itu semakin mencetuskan spekulasi apabila pelumba pasukan Yamaha itu dilihat begitu bersemangat untuk menjalani ujian berkenaan.

Malah ketika ditanya mengenai perkara berkenaan, Quartararo yang sudah pun mengharungi 62 saingan MotoGP sejak 2019 mendedahkan bahawa dia sebenarnya memang berminat dengan jentera F1 sejak sekian lama.

“Ketika ini saya begitu positif dengan perkara berkenaan dan malah segala usaha ke arah itu difahamkan sudah pun bermula ketika ini.

“Bagaimanapun, kami memilih untuk berdiam diri sehinggalah ke penghujung tahun ini sebelum membuat pengumuman mengenai perkara ini,” katanya.

Untuk rekod, Quartarao kini mendominasi carta bagi kejuaraan dunia dengan 172 mata dan dengan meraih enam kedudukan podium bagi saingan MotoGP musim 2022.

Aksi Quartararo mungkin dapat dilihat pada saingan F1 selepas ini. - Foto FAIePhoto
Aksi Quartararo mungkin dapat dilihat pada saingan F1 selepas ini. - Foto FAIePhoto

Malah, Quartararo juga difahamkan sedang melakukan persiapan bagi mengharungi GP British di Litar Silverstone yang dijadualkan berlangsung pada 7 Ogos depan.

Sementara itu, Quartarao mengakui wujud perbezaan besar antara aksi MotoGP dengan F1.

Bagaimanapun katanya, sebagai seorang pencinta sukan permotoran, dia melihat perkara berkenaan sebagai satu cabaran yang perlu ditempuhi jika mahu berjaya dalam kedua-dua sukan berkenaan.

“Seperti yang kita semua tahu, aksi F1 ternyata jauh berbeza dengan MotoGP dan untuk berjaya dalam kedua-dua sukan berkenaan bukanlah satu perkara yang mudah.

“Apa pun, saya sememangnya sangat menggemari aksi di F1 dan berharap untuk beraksi dengan jentera F1 suatu hari nanti,” katanya.