MAIWP agih zakat RM297.14 juta dalam tempoh lima bulan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad (kiri) bercakap kepada pemberita semasa sidang media pada Muzakarah Zakat Kebangsaan 2022 hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad (kiri) bercakap kepada pemberita semasa sidang media pada Muzakarah Zakat Kebangsaan 2022 hari ini.
A
A
A

NILAI - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengagihkan zakat berjumlah RM297.14 juta menerusi pelbagai skim bantuan yang ditawarkan kepada golongan asnaf berkelayakan dalam tempoh Januari 2022 sehingga 31 Mei lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, berdasarkan rekod, setiap bulan sebanyak 30,200 ketua keluarga di tiga negeri Wilayah Persekutuan telah dibantu.

"Mereka ini menerima bantuan tetap antara RM500 ke RM1,000 setiap bulan.

"Bantuan itu diagihkan MAIWP menerusi 30 jenis Skim Bantuan Baitimal meliputi bantuan kesihatan, saraan bulanan, pendidikan dan perumahan untuk Kesejahteraan asnaf dalam mendepani kemiskinan," katanya ketika merasmikan Muzakarah Zakat Kebangsaan 2022 Kali Ke-9 bertemakan 'Zakat dan Kemiskinan' di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Menurut Idris, MAIWP telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta untuk modal perniagaan dalam usaha melahirkan sekurang-kurangnya 2,000 asnaf yang berjaya dalam bidang keusahawanan tahun ini.

Tambahnya, mereka yang dikenal pasti berkelayakan dan mempunyai kemahiran akan diberi bantuan modal perniagaan sebanyak RM20,000.

"Hasrat kita supaya mereka ini dapat keluar daripada kepompong kemiskinan sekaligus menjadi penyumbang zakat dalam tempoh empat hingga lima tahun lagi.

"Asnaf ini akan dilatih oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk berniaga," katanya.

Idris berkata, MAIWP telah melancarkan Program Projek Agro-preneur Asnaf MAIWP di Kompleks Darul Kifayah, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur.

Jelasnya, menerusi program berkenaan sebanyak 21,000 cili polibeg disasarkan untuk ditanam.

"Ini adalah program pertanian bandar yang kita usahakan untuk membantu asnaf.

"Yayasan Waqaf Malaysia pula sedang dalam proses untuk membangunkan empat hektar tanah di Putrajaya bagi program Waqaf Petani di kalangan asnaf," katanya.