Nilai ringgit menyeluruh, bukan banding dolar AS semata-mata

Mohd Shahar menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Mohd Shahar menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penilaian kedudukan dan pertumbuhan ringgit perlu dilakukan secara menyeluruh dan bukan hanya dibandingkan dengan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) yang meningkat berbanding kebanyakan mata wang utama dunia, dalam menentukan prestasi sebenar mata wang tempatan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, pergerakan turun nilai ringgit sebanyak 6.2 peratus berbanding dengan dolar AS sejak awal 2022 adalah sejajar dengan pergerakan mata wang serantau dan negara maju yang turut merosot 2.8 peratus hingga 16.4 peratus sehingga 22 Julai 2022.

"Pengukuhan dolar secara keseluruhannya didorong oleh kenaikan kadar faedah secara agresif di AS, sentiment penghindaran risiko global berikutan konflik di Ukraine dan jangkaan pertumbuhan yang sederhana di China.

"Sehubungan ini, kerajaan akan terus menguruskan risiko-risiko daripada perkembangan domestik dan luaran, dan Bank Negara Malaysia juga bersedia menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan teratur dalam pasaran pertukaran asing untuk mengelakkan turun naik ketara dalam kadar pertukaran ringgit,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Tengku Zulpuri Raja Puji (DAP-Raub) mengenai langkah yang berkesan dalam menangani kemerosotan ekonomi negara, kejatuhan nilai ringgit yang semakin mendadak serta kenaikan kos kehidupan yang semakin ketara.

Mohd Shahar berkata, kedudukan ringgit amat penting bagi memastikan perjalanan ekonomi negara berada pada tahap optimum, namun tidak adil sekiranya dibandingkan dengan dolar AS semata-mata.

Jika dibandingkan dengan beberapa mata wang asing serantau, ringgit merekodkan kenaikan iaitu 12.2 peratus berbanding dengan yen Jepun, pound British (6.0 peratus), euro (4.6 peratus), peso Filipina (3.5 peratus) dan bhat Thailand (3.3 peratus), katanya.

Beliau berkata, selain kedudukan ringgit, pertumbuhan ekonomi negara perlu juga dinilai menerusi indikator prestasi ekonomi iaitu perdagangan runcit dan borong, kadar pengangguran, pengeluaran perindustrian, dan perdagangan negara.

"Pada suku kedua 2022, keempat-empat indikator ini menunjukkan prestasi yang baik. Oleh itu, melalui Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dan Bank Negara Malaysia, kadar dasar semalaman (OPR) dinaikkan secara berfasa, bukan mendadak seperti yang dilakukan oleh AS dengan sebanyak 150 peratus.

"Semasa pandemik, kita menurunkan OPR sebanyak 125 mata asas (bsp), tetapi (setakat ini) kita baru naikkan sebanyak 50bsp secara berfasa kerana kenaikan OPR ini juga akan membantu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) yang ingin tahu strategi Kementerian Kewangan bagi memastikan ringgit terus berdaya saing. - Bernama