RM7.471 juta akan diagihkan kepada 7,471 mangsa banjir

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Hanafiah Mat)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Hanafiah Mat)
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri telah menerima wang bantuan sebanyak RM7.471 juta dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang berdaftar namun tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, bantuan tersebut akan diagihkan kepada 7,471 ketua isi rumah (KIR) yang layak selepas rumah mereka ditenggelami air akibat banjir.

Menurutnya, daripada jumlah itu daerah Kemaman merekodkan jumlah penerima paling ramai dengan 4,795 orang diikuti Kuala Terengganu (1,506), Kuala Nerus (636), Hulu Terengganu (261), Setiu (151), Dungun (85) dan Besut (37).

“Mereka ini turut mendaftar di PPS sebagai mangsa banjir, cuma mereka tidak pindah. Jadi kerajaan beri juga bantuan.

“Setiap KIR ini akan menerima RM1,000 secara berperingkat mulai minggu depan dengan agihan dilakukan oleh Pejabat Daerah masing-masing," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Selasa.

Sementara itu, Hanafiah memaklumkan agihan bantuan kewangan kepada rakyat melalui Tabung Darul Iman mengalami sedikit kelewatan kerana Sistem Perakaunan Akruan Kerajaan Negeri (iSPEKS) yang digunakan telah dinaiktaraf.

Jelas beliau, kerajaan negeri perlu mendaftar setiap penerima bantuan ke dalam iSPEKS dan ia bukan sahaja melibatkan bantuan kepada penerima Tabung Darul Iman, malah semua akaun-akaun bantuan yang lain.

"Proses naik taraf portal ini dimulakan secara berperingkat pada tahun lepas dan ia sudah pun siap pada suku ketiga 2021 yang lalu. Dalam masa terdekat, pembayaran dijangka akan dapat dilakukan mengikut jadual seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Datuk Muhammad Pehimi Yusof (BN-Jertih) mengenai jumlah kewangan yang telah digunakan untuk Tabung Darul Iman bagi tahun 2020, 2021 dan jangkaan tahun ini pada persidangan DUN Terengganu.

Hanafiah berkata, sebanyak RM6.89 juta telah diagihkan kepada 8,214 penerima bantuan Tabung Darul Iman pada tahun 2020 manakala tahun 2021 pula, sebanyak RM5.7 juta disalurkan kepada 7,243 penerima.

“Sehingga Jun tahun ini pula, seramai 1,421 penerima sudah mendapat manfaat dari tabung ini melibatkan kewangan RM1.67 juta,” katanya.

Tabung Darul Iman merupakan satu tabung diwujudkan untuk membantu meringan bebanan rakyat Terengganu yang ditimpa musibah atau kurang bernasib baik dengan membiayai pelbagai bantuan bersesuaian.

Sejarah penubuhannya tercetus dengan penggabungan tiga tabung sedia ada iaitu Tabung Darul Iman, Tabung Bantuan Penyakit Kronik dan Dana Kebajikan Sosial Perubatan.