MBMB diarah siasat ketirisan bayaran sewa Jonker Walk

Sulaiman ketika bangun mencelah pada Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, pada Selasa.
Sulaiman ketika bangun mencelah pada Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengarahkan Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) membuat semakan sama ada wujud ketirisan membabitkan bayaran yuran peniaga di Jonker Walk yang didakwa lebih RM30,000 atau sebaliknya.

Sulaiman berkata, perbincangan serta pembentangan laporan berkenaan perlu dilakukan bersama pihak berkaitan membabitkan MBMB, Jawatankuasa Jonker Walk, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong.

"Untuk menjawab soalan berlaku ketirisan atau tidak, saya minta MBMB termasuk Kota Laksamana lihat benarkah ia melebihi RM30,000 sebulan.

"Dalam dewan ini saya arahkan MBMB jumpa dengan Kota Laksamana dan pihak Jonker Walk duduk bersama untuk lihat perkara ini," katanya.

Sulaiman berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong pada Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, pada Selasa.

Beliau bingkas bangun mencelah selepas Chee Leong masih tidak berpuas hati dan mempersoalkan usaha dilakukan Jawatankuasa Jonker Street dalam mencegah kejadian kebakaran di lokasi pelancongan itu hingga mengorbankan nyawa penyewa baru-baru ini.

Terdahulu, Muhammad Jailani (BN-Rembia) menjawab soalan itu dan memaklumkan beliau telah melihat audit daripada jawatankuasa berkenaan dan terdapat beberapa kos tersembunyi yang perlu ditanggung mereka menyebabkan keadaan dewan gamat seketika.