[VIDEO] Kehadiran pelajar ke sekolah di Pulau Pinang makin merosot

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

NIBONG TEBAL - [DIKEMAS KINI] Jumlah kehadiran pelajar ke sekolah di negeri ini dilaporkan merosot pada sesi tahun ini malah terdapat kelas yang mencatatkan kehadiran hanya empat orang pelajar sahaja dalam sehari.

Keadaan itu agak membimbangkan dan mungkin akan menyebabkan lebih ramai pelajar yang tercicir dalam mendapatkan pendidikan yang sempurna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim berkata, isu berkenaan perlu dipandang serius oleh masyarakat terutamanya ibu bapa bagi memastikan anak-anak mereka tidak terjebak dengan perkara tidak berfaedah yang mungkin boleh memusnahkan masa depan mereka.

Menurutnya, daripada maklumat yang diperoleh dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang merekodkan seramai 529 pelajar tercicir dan hanya datang ke sekolah pada hari tertentu seperti peperiksaan sahaja.

"Daripada Jumlah itu, seramai 246 pelajar yang ditemui telah menyatakan tidak mahu lagi ke sekolah.

"Kebanyakan mereka yang terlibat dengan masalah ini di kalangan pelajar tingkatan tiga hingga lima malah difahamkan pihak sekolah tidak tahu apakah yang dilakukan oleh pelajar-pelajar ini di luar sehingga menyebabkan mereka tidak berminat ke sekolah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Jerayawara Town Hall Jom Bersekolah di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah JPN Pulau Pinang, Abdul Said Hussain.

Sementara itu, Zulkifli berkata golongan remaja yang tidak minat untuk bersekolah diseru untuk mengikuti pelbagai program kemahiran dan keusahawanan yang ditawarkan oleh pelbagai institusi kerajaan.

Zulkifli
Zulkifli

Jelasnya, bagi menyelamatkan masa depan anak muda terutamanya golongan pelajar daripada terjerumus dengan perkara tidak berfaedah semua pihak perlu memainkan peranan untuk memastikan mereka mendapat bimbingan serta arah tuju yang betul walaupun sudah tidak berminat dengan sekolah.

"Ibu bapa dan anggota masyarakat juga perlu tahu apa yang dilakukan mereka, adakah mereka kini dah selesa mencari wang dengan jadi penghantar makanan atau mempunyai bakat dan kemahiran lain yang boleh diketengahkan.

"Banyak institusi kemahiran yang menawarkan kursus jangka pendek dan panjang untuk golongan ini malah mereka turut diberikan elaun serta peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu membuat keputusan yang bijak dalam soal ini dengan tidak hanya bergantung dengan sijil pelajaran serta sijil berhenti sekolah semata-mata demi masa depan anak mereka sedangkan pelajar itu sudah tidak lagi berminat untuk ke sekolah.

"Jangan bazirkan masa mereka sekiranya pelajar itu sendiri tidak berminat untuk belajar dan akhirnya mendapat keputusan cukup-cukup makan sahaja di akhir persekolahan mereka.

"Mungkin kita boleh cungkil kebolehan dan bakat lain dari mereka atau pelajar ini boleh mengikuti pelbagai program kemahiran seperti di GiatMARA yang kini melahirkan ramai tenaga kerja yang mendapat permintaan tinggi oleh majikan," katanya.

@sinarharianonline Kehadiran pelajar ke sekolah makin merosot! #fyp#TrendingNewsMalaysia#BuletinTikTok#TikTokNews#PelajarSekolah#KehadiranMerosot original sound - Sinar Harian