Badang sedia gegar Birmingham

Muhammad Aznil antara sandaran skuad angkat berat meraih pingat pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Muhammad Aznil antara sandaran skuad angkat berat meraih pingat pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
A
A
A

ANGKAT berat sekali lagi menjadi taruhan untuk menyumbang pingat emas negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadualkan bermula hujung bulan ini.

Selain Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) juga sudah pun berkira-kira mengintai satu emas, dua perak dari temasya sukan kedua terbesar dunia selepas Sukan Olimpik tersebut.

Menurut Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat, sasaran diletakkan adalah realistik berdasarkan prestasi semasa para atlet badan induk tersebut.

“Sejujurnya PABM mengambil serius cabaran Birmingham 2022 dengan menyiapkan pasukan ini sejak November tahun lalu, apatah lagi pastinya temasya ini menampilkan negara-negara hebat.

“Untuk itu, kami telah memberikan siri pendedahan kepada para atlet menerusi beberapa kejuaraan kompetitif luar negara termasuk siri kelayakan Sukan Komanwel di Tashkent, Uzbekistan.

“Selain itu, kejohanan Sukan SEA Hanoi 2021 pada Mei lalu juga tidak hanya menjadi medan meraih pingat tetapi juga memastikan para atlet negara lebih bersedia tidak hanya mental tetapi fizikal di Birmingham...

“Sebelum berangkat ke Birmingham, atlet angkat berat negara menjalani latihan intensif di Pusat Latihan Angkat Berat Lampung, Rompin sejak 26 Jun lalu.

“Saya yakin aura semangat juang di Lampung yang banyak melahirkan jagoan angkat berat negara akan menjadi kekuatan tambahan kepada atlet negara,” katanya kepada Sukan Sinar.

Edisi Gold Coast sebelum ini menyaksikan kilauan pingat dari kem angkat berat disumbangkan tiga pingat - dua emas menerusi Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad (55kg) dan Aznil (61 kg) manakala satu perak pula disumbangkan Muhamad Fazrul Azrie Mohdad (85kg).

Mengenai tekanan bakal dihadapi atlet PABM, Ayub menegaskan elemen itu merupakan satu situasi akan dihadapi semua terutama apabila tampil dalam temasya besar.

“Pada saya dalam kehidupan ini kita tidak boleh lari daripada berdepan dengan tekanan kerana ia sebahagian daripada proses mematangkan seseorang.

“Saya percaya anak buah saya cukup bersedia untuk menyerap tekanan apabila mereka menyahut cabaran ini.

“Sebelum ini mereka sudah didedahkan pelbagai tekanan yang menyaksikan kini mereka lebih berani ke depan mengambil cabaran tekanan yang menjadi sumber kekuatan meraih pingat emas,” ujarnya.

Pada Sukan Komanwel kali ini, kem angkat berat negara mempertaruhkan tujuh atlet termasuk Muhamad Aznil Bidin, Mohd Aniq Kasdan dan Muhammad Erry Hidayat.

Mengenai tekanan bakal dihadapi anak-anak buahnya, Ayub menegaskan, elemen itu merupakan satu situasi akan dihadapi semua terutama apabila tampil dalam temasya besar.

“Pada saya dalam kehidupan ini kita tidak boleh lari daripada berdepan dengan tekanan kerana ia sebahagian daripada proses mematangkan seseorang.

“Saya percaya anak-anak buah saya cukup bersedia untuk menyerap tekanan. Sebelum ini mereka sudah didedahkan dengan pelbagai tekanan yang menyaksikan mereka kini lebih berani ke depan,” ujarnya.

Dalam keghairahan memburu sasaran pingat yang ditetapkan, Ayub sempat menitip pesanan buat setiap atlet angkat berat negara untuk mengelak daripada mengalami kecederaan.

“Sememangnya kecederaan tidak boleh dielakkan. Jika berlaku kecederaan atau kesakitan semasa pertandingan, lupakan sementara.

"Berjuanglah sehingga tenaga terakhir, biarlah nanti kita terbaring di katil hospital, asalkan pingat emas berada dalam genggaman,” ujarnya.