APM Kedah tambah baik SAR, cepat sampai kawasan bencana

Anggota APM Kedah melakukan kerja menyelamat selepas menemui 'mangsa' di Taman Rekreasi Eko Rimba Bukit Wang, Jitra pada Isnin.
Anggota APM Kedah melakukan kerja menyelamat selepas menemui 'mangsa' di Taman Rekreasi Eko Rimba Bukit Wang, Jitra pada Isnin.
A
A
A

JITRA - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Kedah berusaha menambah baik pengaturan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di negeri ini agar pasukan dapat sampai dengan cepat di kawasan bencana.

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, susulan kejadian banjir lumpur serta kepala air di daerah Yan dan Baling, pihaknya membentuk empat platun yang terdiri daripada 120 anggota APM di Zon Utara dan Zon Selatan di Kedah.

Menurutnya, pasukan ini akan tiba awal di kawasan bencana untuk melakukan kerja-kerja SAR dengan kadar segera.

"Kita mengambil iktibar daripada kejadian di Baling dan Yan sebelum ini yang mana harus membantu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri. Mereka memerlukan ramai agensi penyelamat yang efisien di kawasan SAR.

"Apabila semakin ramai pasukan penyelamat maka pergerakan pasukan itu semakin licin dan memudahkan komander operasi mengatur gerak pasukan dalam mencari dan menyelamat dalam kawasan bencana," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas Eksesais SAR APM Kedah Zon Utara di Taman Rekreasi Eko Rimba Bukit Wang, dekat sini.

Menurut Awang Askandar, kemahiran anggota yang terlibat dalam empat platun dipertingkatkan dari semasa ke semasa melalui eksesais yang diadakan sebagai persediaan awal menghadapi bencana alam seperti kepala air dan banjir lumpur.

"Pergerakan pasukan penyelamat APM dalam eksesais hari ini (Isnin) menunjukkan masa tindak balas yang dicatat cepat iaitu hanya dalam tempoh sejam melapor diri di sesuatu lokasi bencana selepas arahan dikeluarkan," ujarnya.

Jelasnya, eksesais SAR APM Kedah Zon Utara melibatkan daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Padang Terap dan Yan manakala bagi Zon Selatan pula akan diadakan pada minggu hadapan.

"Zon Selatan pula terdiri daripada Kuala Muda, Kulim, Bandar Baharu, Sik dan Baling. Setiap zon mempunyai dua platun, dan setiap platun terdiri daripada 30 anggota," ujarnya.