Dua lokasi dicadang atasi kesesakan parkir Hospital Melaka

Dr Muhamad Akmal ketika menjawab pertanyaan tambahan pada Persidangan DUN Melaka yang ke-15 di Seri Negeri Ayer Keroh, pada Isnin.
Dr Muhamad Akmal ketika menjawab pertanyaan tambahan pada Persidangan DUN Melaka yang ke-15 di Seri Negeri Ayer Keroh, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Dua lokasi berdekatan Hospital Melaka (HM) dicadangkan sebagai 'one stop parking centre' bagi mengurangkan kesesakan kenderaan dalam hospital dan masalah parkir kenderaan yang tidak mencukupi.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, dua lokasi itu ialah Bukit Serindit yang mempunyai kapasiti hampir 500 petak parkir dan Taman Satu Lagenda (terdapat 1,670 lot parkir).

Menurutnya, orang awam yang memandu kenderaan boleh memilih salah satu lokasi itu dan menaiki bas Panorama untuk ke Hospital Melaka.

Katanya, ruang parkir dilengkapi kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) itu untuk memudahkan pesakit dan pelawat hospital meletakkan kenderaan.

"Bas Panorama akan beroperasi sebagai bas 'shuttle' dengan kekerapan dianggarkan lima minit sekali untuk mengambil pelawat di kedua-dua tempat pakir itu.

"Bas akan masuk ke dalam kawasan hospital dan menurunkan penumpang di beberapa tempat yang mudah diakses kerana ada bangunan baharu dan lama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, pada Isnin.

Jelas beliau, ruang parkir sedia ada dapat dimanfaatkan untuk kegunaan lain seperti penambahan wad dan parkir untuk orang kurang upaya (OKU) bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

Ujarnya, usaha itu juga sekali gus mampu memberi limpahan rezeki kepada peniaga setempat.

"Pada 1 Ogos ini saya dan beberapa wakil agensi seperti Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Hospital Melaka dan Panorama Melaka Sdn Bhd akan membuat simulasi pergerakan bas itu bagi meihat apakah halangan atau cabarannya," katanya.