118 majikan dikesan langgar perintah gaji minimum

Saravanan. - Foto Bernama
Saravanan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) merekodkan sebanyak 118 majikan didapati tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022 yang mula dilaksanakan sejak 1 Mei lalu.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, secara keseluruhan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menerima sebanyak 157 aduan berkaitan isu berkenaan setakat Jun lalu.

“Bagi memastikan semua pekerja di Malaysia mendapat manfaat daripada Perintah Gaji Minimum 2022, JTKSM sentiasa menjalankan pemeriksaan berkanun atau pemeriksaan mengejut ke atas majikan.

“Sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 20,452 majikan telah diperiksa. Bagi bulan Jun 2022 sahaja sebanyak 3,049 tempat pekerjaan telah diperiksa diseluruh negara.

“Selain itu, JTKSM juga akan menjalankan siasatan sekiranya aduan diterima daripada pihak pekerja,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) yang memintanya menyatakan berapa jumlah majikan yang didakwa tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022 yang berkuat kuasa mulai 1 Mei 2022.

Tambah Saravanan, setakat ini belum ada majikan yang didakwa kerana gagal mematuhi perintah gaji minimum itu memandangkan gaji bulan Mei 2022 hanya mula diterima oleh pekerja pada awal bulan Jun lalu.

“Statistik majikan yang telah mematuhi dan tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022 masih tidak dapat disediakan berikutan kuat kuasanya perintah tersebut pada 1 Mei 2022 dan pematuhan hanya dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan berkanun.

“Penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,500 sebulan hanya terpakai kepada majikan yang menggajikan kurang lima pekerja. Ini adalah bagi memberi peluang kepada majikan kategori ini membuat persediaan sewajarnya,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan melalui KSM juga telah memutuskan tiada penundaan diberi kepada mana-mana sektor ekonomi atau jenis pekerjaan.

Ini kerana katanya, bantuan kepada majikan melalui pakej bantuan Covid-19 seperti Program Subsidi Upah telah berupaya mengekalkan perniagaan dan pekerjaan.