Mahkamah arah serah salinan percakapan saksi utama kes Syed Saddiq

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin mengarahkan pasukan pendakwaan menyerahkan salinan percakapan saksi pendakwaan ke-13 yang dirakam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2020 lalu kepada mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman (JC), Datuk Azhar Abdul Hamid berkata demikian ketika prosiding mencabar kredibiliti saksi utama pendakwaan, Rafiq Hakim Razali dalam perbicaraan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan harta serta pengubahan wang haram.

Azhar berkata, setelah meneliti dan mendengar hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, mahkamah bersetuju bahawa pihak pembelaan berjaya menunjukkan wujud perbezaan keterangan lisan yang diakui oleh pasukan pendakwaan.

Oleh itu beliau berkata, mahkamah mengarahkan pasukan pendakwaan untuk menyerahkan salinan percakapan Rafiq untuk penelitian sebelum tindakan lanjut ditentukan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bertanya sama ada salinan percakapan itu diserahkan kepada Yang Arif sahaja atau diberi juga kepada pihak lain.

Azhar: Serah kepada mahkamah terlebih dahulu bagi menentu sahkan perbezaan yang ada dalam kedua-dua keterangan lisan dan percakapan saksi itu.

Wan Shaharuddin: Perlukah kami tunjuk kenyataan mana yang ada berbezaan itu?

Azhar: Biar saya baca dahulu, kemudian saya akan tentukan.

Pada Jumaat lalu, pasukan pembelaan memulakan prosiding mencabar kredibiliti saksi utama pendakwaan, Rafiq.

Ia dikemukakan selepas percubaan kali pertama untuk mendapatkan pernyataan bertulis Rafiq yang ketika itu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini, Isnin minggu lalu.

Gobind berkata, permohonan dilakukan kerana pihaknya percaya wujud percanggahan dalam keterangan lisan Rafiq di mahkamah dengan keterangan yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2020 lalu.

Beliau berkata, Rafiq dalam keterangan lisan di mahkamah, tidak bersetuju bahawa wang dalam akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) adalah hasil kutipan orang ramai oleh Syed Saddiq untuk kempen di Muar.

Sedangkan, dalam pernyataan SPRM, beliau berkata, Rafiq sendiri bersetuju bahawa wang itu merupakan sumbangan ketika Majlis Makan Malam di Muar dan Majlis Makan di Hotel De Palma.