Litar terbiar 10 tahun kembali aktif

Litar motocross Sahom mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai terutama golongan muda. (Gambar kecil: Aidy Azril)
Litar motocross Sahom mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai terutama golongan muda. (Gambar kecil: Aidy Azril)
A
A
A

KAMPAR - Selepas 10 tahun terbiar, litar motocross di Kampung Sahom, di sini kembali aktif dengan perlumbaan hasil usaha penduduk kampung.

Pengerusi Persatuan Prihatin Kampung Sahom, Aidy Azril Azmi Murad berkata, litar tersebut telah wujud sejak tahun 2004 tetapi pada tahun 2011, ia terbiar tanpa sebarang aktiviti.

Menurutnya, disebabkan ia tidak dimanfaat, pihak persatuan mengambil inisiatif untuk membuka semula litar tersebut kepada orang ramai.

"Tujuan kita aktifkan semula litar motocross ini adalah untuk memberi peluang kepada anak muda di sini khususnya menonjolkan bakat mereka.

Kita tak mahu mereka terjebak dalam sebarang aktiviti tidak berfaedah yang boleh mengancam keselamatan diri dan orang lain.

"Alhamdulillah, sejak dibuka semula awal tahun lalu, sambutan diterima sangat baik.

Setiap petang anak-anak muda bersama penduduk kampung jalani latihan di sini.

Jika hujung minggu lagi ramai," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program Fun Race Endurance Challenge Tertutup Sahom di Kampung Sahom, di sini pada Ahad.

Sebahagian peserta program Fun Race Endurance Challenge Tertutup Sahom di Kampung Sahom, di sini pada Ahad.
Sebahagian peserta program Fun Race Endurance Challenge Tertutup Sahom di Kampung Sahom, di sini pada Ahad.

Hadir sama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Tualang Sekah, Mohd Azlan Helmi.

Aidy Azril berkata, ramai anak muda kampung tersebut yang berbakat di dalam perlumbaan motorcross.

Malah katanya, terdapat sebahagian mereka yang turut serta dalam beberapa kejohanan motocross dianjurkan di Perak mahupun luar negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Motocross Sahom berkata, pihaknya telah merancang untuk menganjurkan kejohanan pada September depan.

Menurutnya, kejohanan yang dinamakan Sahom Track Day Perak Open 2022 itu bakal menerima kira-kira 500 penyertaan dari seluruh negara.

"Sebanyak 16 kategori akan dipertandingkan pada kejohanan ini melibat trak endurance dan MX di litar yang kita telah lakukan sedikit ubah suai.

"Sepertimana litar ini kita uruskan sendiri, kejohanan ini juga akan dianjurkan oleh kelab dengan kerjasama beberapa individu berpengalaman dalam sukan lasak ini," katanya.

Beliau berharap inisiatif ini bukan sahaja memberi kelebihan kepada pelumba tempatan untuk menyerlah tetapi turut memberi manfaat kepada penduduk setempat.