Bot penumpang tiada lesen ditahan

Bot yang membawa tiga penumpang ditahan kerana pelbagai kesalahan.
Bot yang membawa tiga penumpang ditahan kerana pelbagai kesalahan.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, menahan sebuah bot penumpang kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan pada petang Ahad.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot tersebut ditahan pada kedudukan 0.19 batu nautika Tanjung Puchat, Mukah Head, Teluk Bahang, kira-kira jam 5.25 petang.

Menurutnya, bot tersebut ditahan semasa membawa tiga pelancong di perairan Tanjung Puchat.

"Pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut membawa penumpang tanpa lesen yang sah serta insuran telah tamat tempoh.

"Bot itu dikendalikan seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, bot serta tekong yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Pulau Pinang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana membawa penumpang tanpa lesen yang sah selain insurans tamat tempoh.

"Maritim Malaysia menasihatkan pengusaha-pengusaha bot yang membawa penumpang atau pelancong di laut mematuhi undang-undang serta peraturan dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Orang ramai serta komuniti maritim diminta untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut," katanya.

Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 042626146.