JPJ tidak kompromi penunggang motosikal bahayakan orang awam

Aedy (kiri) memakaikan topi keledar kepada penunggang sempena Is Lejang Fasa 1 di Plaza Tol Bentong pada Ahad.
Aedy (kiri) memakaikan topi keledar kepada penunggang sempena Is Lejang Fasa 1 di Plaza Tol Bentong pada Ahad.
A
A
A

BENTONG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan berkompromi dengan mana-mana penunggang motosikal yang melakukan kesalahan tegar.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli memberitahu, jabatan berkenaan dalam proses mendapatkan arahan daripada pihak Kementerian Pengangkutan untuk meneliti semula dan memperketatkan tindakan ke atas penunggang yang melakukan kesalahan membahayakan orang awam di atas jalan raya.

"Mat rempit sekarang menjadi isu yang hangat, JPJ sedang meneliti dan akan mengambil tindakan serta maklumkan dalam tempoh terdekat apakah tindakan diambil bersama Kementerian Pengangkutan.

"Ini untuk memastikan penunggang atau mat rempit tidak melakukan kesalahan sewenang-wenangnya," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena Ops Lejang Fasa 1 di Plaza Tol Bentong di sini pada Ahad.

Seramai 140 orang terlibat dalam operasi bersepadu tersebut melibatkan pihak polis, Anih Berhad dan anggota JPJ.

Beliau berkata, orang ramai diminta menyalurkan maklumat menerusi saluran aduan trafik jika mengetahui mana-mana lokasi yang dipercayai berlaku lumba haram.

Tambahnya, JPJ bersama pihak polis sedang memantau lokasi panas lumba haram yang telah dikenal pasti.

Dalam pada itu, beliau memberitahu operasi berkenaan akan diperluaskan ke seluruh negara untuk memastikan pengguna motosikal mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan.

"JPJ ambil pendekatan mulakan operasi di Plaza Tol Bentong dan kawasan sekitar sehingga Karak serta Genting Highlands selain akan diperluaskan ke seluruh negara.

"Kita sasarkan memeriksa lebih 3,000 buah motosikal hari ini (Ahad) dan sehingga jam 12 tengah hari, 796 daripadanya sudah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan," tambahnya.

Ujarnya, dua kesalahan tertinggi dicatatkan dalam operasi tersebut iaitu tidak memiliki lesen dan cukai jalan yang sah.

"JPJ akan memperketatkan kaedah dan juga tindakan terhadap penunggang motosikal yang melakukan kesalahan jalan raya.

"Kita akan bekerjasama dengan agensi-agensi penguat kuasa lain dari semasa ke semasa," jelasnya lagi.

Sementara itu, beliau meminta penunggang motosikal berkuasa tinggi di negara ini segera mendapatkan lesen B penuh berikutan terdapat segelintir yang masih menggunakan lesen L.

"Ada penunggang berkuasa tinggi tidak mempunyai lesen B penuh, mereka sepatutnya tidak boleh menunggang motosikal berkuasa tinggi melebihi 250cc.

"Mereka diminta mendapatkan lesen B penuh dan tidak menggunakan lesen L terlalu lama untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," ujarnya.