Ketengah mahu buka syarikat urus aktiviti perlombongan

Ahmad ditemui media pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Ketengah di Bandar Al Muktafi Billah Shah pada Ahad. - Foto Bernama
Ahmad ditemui media pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Ketengah di Bandar Al Muktafi Billah Shah pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

DUNGUN - Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bercadang untuk menubuhkan sebuah syarikat bagi menguruskan aktiviti perlombongan bijih besi di Bukit Besi di sini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Said berkata, beliau telah mengarahkan Ketengah Holding membuat kertas kerja penubuhan syarikat terbabit untuk dibentangkan pada mesyuarat pengurusan pertama agensi itu pada bulan depan.

Beliau turut menyifatkan aktiviti perlombongan mampu memberi janaan pendapatan lumayan kepada Ketengah yang boleh digunakan kembali bagi pembangunan serta kemajuan wilayah itu.

"Sebelum ini sebuah syarikat perlombongan mengisytiharkan mengeluarkan 400 metrik tan bijih besi setahun dengan perolehan sekitar RM300 juta setahun.

"Oleh itu, saya rasa lebih baik kita usahakan sendiri. Jika tidak, kita sekurang-kurangnya boleh diusahakan menerusi kerjasama dengan syarikat lain untuk tujuan tersebut," katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Ketengah 2021 di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini, pada Ahad.

Ahmad Said berkata, beliau turut menerima banyak permohonan daripada syarikat yang berminat untuk mengusahakan kerja-kerja perlombongan bijih besi di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, permohonan itu ditolak kerana berpendapat aktiviti sedemikian wajar diuruskan sendiri oleh kerajaan negeri.

"Kita ada sekitar lima peratus lagi kawasan lombong yang belum diteroka dan hendak usahakan sendiri.

"(Pada masa sama), kita akan rugi dalam jangka masa panjang kerana selepas diusahakan, tanah lombong ini dibiar berlubang dan dan tidak boleh digunakan lagi," katanya. - Bernama