Padah pamer aksi zig-zag ketika konvoi

Antara aksi berbahaya yang dirakam ketika pemantauan Op Samseng Jalanan. - Foto ihsan JSPT Terengganu
Antara aksi berbahaya yang dirakam ketika pemantauan Op Samseng Jalanan. - Foto ihsan JSPT Terengganu
A
A
A

MARANG - Hasrat sembilan remaja bersiar sambil 'berkonvoi' pada hujung minggu di Dungun terbantut apabila mereka ditahan Skuad 42 Jabatan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, mereka ditahan ketika pemantauan Op Samseng Jalanan di Jalan Kuala Terengganu - Kuantan berhampiran Kampung Jambu Bongkok, disini, pada petang Jumaat.

Beliau berkata, ketika ditahan, kumpulan remaja itu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke Dungun dengan menunggang motosikal masing-masing dan mempamerkan aksi zig-zag sambil bersaing sesama sendiri dan membuat aksi ala ‘superman’ di atas motosikal.

"Skuad 42 yang sedang membuat pemantauan di sekitar Kampung Jambu Bongkok telah melihat kelibat mereka dengan aksi-aksi tersebut yang jelas mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

"Skuad 42 terus mengekori dan terus menahan sebaik mereka memberhentikan motosikal di sebuah stesen minyak berdekatan sebuah gerai makan di Jalan Pantai Sura, Dungun," katanya dalam kenyataan, disini, pada Ahad.

Beliau berkata, kesemua suspek bersama motosikal dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang untuk proses dokumentasi dan siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, jika sabit kesalahan mereka boleh didenda minimum RM5,000 hingga RM15,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun serta hilang kelayakan untuk memiliki lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun.