Malaysia mampu kekalkan momentum dagangan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MALAYSIA berupaya mengekalkan momentum positif pertumbuhan ekonomi susulan kejayaan mencatat pertumbuhan dua angka bagi jumlah perdagangan sebanyak 43.3 peratus bagi tahun ke tahun pada Jun 2022 yang mencapai paras tertinggi sebanyak RM270.39 bilion.

Ketika berkongsi keyakinan itu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, momentum itu didorong oleh segmen eksport yang dipacu oleh prestasi memberangsangkan bagi eksport domestik dan eksport semula.

"Dengan keazaman padu dan tanggung jawab bersama, saya yakin Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mengekalkan momentum positif dalam menyongsong arus untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara," kata Mohamed Azmin dalam ciapan menerusi Twitter beliau, pada Ahad.

Pada Jun lepas, eksport Malaysia meningkat 38.8 peratus tahun ke tahun kepada RM146.16 bilion iaitu pengembangan untuk bulan ke-22 berturut-turut sejak September 2020 manakala import melonjak 49.3 peratus tahun ke tahun kepada RM124.23 bilion.

Dalam ciapan seterusnya, Mohamed Azmin turut mengulas laporan berita mengenai Dewan Perdagangan dan Industri Kesatuan Eropah (Eurocham) Malaysia berkenaan pemindahan teknologi automasi terkini dari Eropah ke Malaysia secara berterusan.

Pada 22 Julai, Eurocham Malaysia berkata, komuniti perniagaan Eropah berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menyokong pemulihan perniagaan secara aktif serta menangguhkan syarat bahawa sekurang-kurangnya 80 peratus tenaga kerja tempatan ditempatkan dalam sesebuah syarikat selama dua tahun.

"Sejajar dengan komitmen kita untuk menyokong pemulihan perniagaan secara aktif, MITI mengambil keputusan yang proaktif serta praktikal bagi memastikan kelangsungan perniagaan yang mampan.

"Kita akan terus melakukan libat urus dan mendengar pandangan pihak berkepentingan bagi memacu pemulihan ekonomi negara menerusi pelbagai aktiviti termasuk sesi dialog dengan dewan perdagangan dan industri dalam memastikan kemakmuran bersama untuk semua,” kata Mohamed Azmin. - Bernama