Piala FA: JDT, Penang FC, Selangor, TFC layak ke separuh akhir

Barisan pemain TFC meraikan kemengkalan bersama penyokong pasukan mereka setelah berjaya melangkah ke separuh akhir Piala FA selepas menumpaskan Kuching City FC pada aksi suku akhir Piala FA 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi. - Foto Bernama.
Barisan pemain TFC meraikan kemengkalan bersama penyokong pasukan mereka setelah berjaya melangkah ke separuh akhir Piala FA selepas menumpaskan Kuching City FC pada aksi suku akhir Piala FA 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi. - Foto Bernama.
A
A
A

PASUKAN Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Melaka United 2-1 pada aksi suku akhir di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi.

Gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri, langkah tempang Melaka bermula apabila gawang Skuad Kancil berjaya dibolosi menerusi tandukan Ahmad Hazwan Bakri seawal minit keempat perlawanan.

Berbaki enam minit sebelum wisel penamat ditiup, kapten pasukan Melaka, Sony Norde mengikat kedudukan 1-1 menerusi sepakan penalti.

Bergson Da Silva bagaimanapun muncul wira dalam memastikan JDT ke separuh akhir selepas menjaringkan gol pada masa kecederaan.

Di Kota Kinabalu, Selangor FC turut melangkah ke peringkat separuh akhir saingan Piala FA apabila menewaskan pasukan Sabah FC 2-0 dalam perlawanan suku akhir yang berlangsung di Stadium Likas.

Selangor mendahului seawal minit pertama apabila Brendan Gan bijak memanfaatkan kelekaan pertahanan lawan dengan menghantar bola hantaran lolos yang disudahkan Hyuri Henrique dengan kemas.

Skuad Gergasi Merah kemudiannya menambah jaringan pada minit ke-81 menerusi satu serangan balas yang gagal dihalang Sabah, apabila Herlison Caion cemerlang menyudahkan hantaran bola lolos Hein Htet Aung.

Turut melangkah ke pusingan separuh akhir, Penang FC yang menewaskan Sri Pahang FC 5-2 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Pada perlawanan itu, Sri Pahang terlebih membuka tirai jaringan menerusi Andres Steven Rodriguez pada minit ke-11 diikuti Azwan Aripin pada minit ke-19.

Bersambung babak kedua, giliran Penang FC bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan T Saravanan (minit ke-45) dan Hilal Alhelwe (minit ke-85) sehingga memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Penang FC terus rancak menambah tiga lagi jaringan gol menerusi Lucas Espindola Da Silva (minit ke-96) dan Hilal (minit ke-99) diikuti K. Thivandran (minit ke-116) bagi menoktahkan kemenangan.

Dalam pada itu Terengganu FC (TFC) turut mara ke separuh akhir Piala FA selepas membenam Kuching City FC 4-1 dalam aksi suku akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi. - Bernama.