Nilai komersial Liga-M melonjak

Saingan Liga Super musim depan bakal menyaksikan penampilan 18 pasukan. - Foto Bernama
Saingan Liga Super musim depan bakal menyaksikan penampilan 18 pasukan. - Foto Bernama
A
A
A

PENSTRUKTURAN Liga Malaysia (Liga-M) mulai musim depan membabitkan enam aspek utama termasuklah saingan Liga Super yang akan melibatkan penyertaan 18 pasukan dianggap satu langkah tepat.

Malah, transformasi yang dilaksanakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu menandakan industri bola sepak negara semakin menuju ke peringkat lebih baik.

Lebih utama, pertambahan kuota 18 pasukan yang akan bertanding dalam saingan Liga Super bermula musim depan dilihat langkah terbaik bagi MFL untuk meningkatkan nilai komersial Liga-M.

Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur (KL) City FC, Stanley Bernard berkata, setiap pasukan akan lebih berpeluang untuk menjana pendapatan hasil daripada pelbagai penajaan.

“Saya tidak nafikan kos perbelanjaan sesebuah pasukan Liga Super itu akan bertambah apabila perlawanan yang bakal diharungi juga bertambah kepada 34 perlawanan.

“Namun, jika kita bermain lebih banyak perlawanan, ‘nilai’ produk pasukan juga akan jadi lebih tinggi. Ia secara tidak langsung, ia dapat menaikkan nilai komersial pasukan dan Liga-M.

“Jadi apabila nilai komersial itu meningkat, maksudnya dekat sini kita boleh mendapat lebih banyak penajaan, kerjasama daripada pelbagai pihak dan lebih banyak penyiaran.

“Saya tidak lihat ia akan membebankan pasukan. Malah, saya berasakan ia membantu pasukan untuk mendapat lebih banyak pendapatan berbanding sebelum ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Pada Rabu lalu, MFL mengorak langkah dengan melakukan penstrukturan semula bagi memastikan liga bola sepak profesional negara itu lebih dinamik dan berdaya saing.

Pelaksanaan penstrukturan semula Liga-M itu juga menyaksikan setiap pasukan akan beraksi dalam 34 perlawanan Liga Super bagi musim depan berbanding hanya 22 perlawanan sahaja ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC (TFC), Ab Rasid Jusoh pula berkata, pihaknya menyambut baik penstrukturan baharu itu sambil menyifatkan ia akan membantu meningkatkan kualiti Liga-M.

“Berkaitan penstrukturan Liga-M musim depan yang mana bilangan pasukan bertanding akan dinaikkan kepada 18 pasukan, kami di pihak TFC bersetuju dengan perkara tersebut.

“Dengan pengumuman itu, ia sudah tentu bakal menaikkan lagi perlawanan kompetitif yang mana kesemua pasukan perlu bermain sekurang-kurangnya 34 perlawanan.

“Ini akan memberikan pemain-pemain minit permainan yang banyak dan ia amat baik terutamanya kepada bakat-bakat muda bola sepak tanah air,” ujarnya.