454 bayi terima insentif Anak Kebanggaan Pahang di Paya Besar

Abdul Rahim (dua dari kanan) menyampai sijil dan sumbangan kepada bayi di bawah intensif Anak Kebanggaan Pahang 2022 di Dewan Dato Shohaimi Jusoh, Gambang, Kuantan pada Sabtu.
Abdul Rahim (dua dari kanan) menyampai sijil dan sumbangan kepada bayi di bawah intensif Anak Kebanggaan Pahang 2022 di Dewan Dato Shohaimi Jusoh, Gambang, Kuantan pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 454 kelahiran direkodkan di kawasan Parlimen Paya Besar dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Datuk Abdul Rahim Muda berkata, daripada jumlah itu, seramai 150 kelahiran direkodkan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar.

Menurutnya, kesemua kelahiran itu layak menerima insentif program Anak Kebanggaan Pahang 2022.

"Anak Kebanggaan Pahang 2022 membuktikan keprihatinan Kerajaan Pahang terhadap rakyat bermula daripada bayi.

"Rata-rata ibu bapa bayi ditemui mengucapkan terima kasih pada Tok Wan (Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) yang memperkenalkan insentif Anak Kebanggaan Pahang ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penanaman Pokok Program Anak Kebanggan Pahang Parlimen Paya Besar di Dewan Dato Shohaimi Jusoh, Gambang, di sini pada Sabtu.

Abdul Rahim menjelaskan, pelbagai bantuan dan insentif disediakan sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat.

"Setiap bayi yang lahir tahun ini layak menerima insentif Anak Kebanggaan Pahang 2022 bernilai RM200 meliputi sumbangan wang tunai dan barangan keperluan bayi," katanya.

Beliau menambah, program itu diadakan bagi membantu ibu bapa yang baharu menerima cahaya mata mengharungi cabaran terutama dari sudut ekonomi dalam membesarkan anak mereka.

Katanya, di samping meraikan kegembiraan ibu bapa, ia juga sebagai tanda anak yang dilahirkan itu merupakan anak kebanggaan negeri Pahang.