Katil ICU di Perak masih cukup

Mohd Akmal
Mohd Akmal
A
A
A

IPOH - Kapasiti penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 di hospital seluruh Perak masih mencukupi dengan merekodkan kadar di bawah 30 peratus, setakat 22 Julai ini.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, statistik menunjukkan kadar penggunaan katil ICU paling tinggi adalah 28 peratus pada minggu epid ke-29 sebelum turun kepada 23 peratus di minggu yang sama.

Menurutnya, kadar penggunaan katil bukan ICU pula merekodkan hanya 25.28 peratus pada Julai.

"Penurunan tersebut disebabkan kadar kesembuhan tinggi kerana kebanyakan rakyat di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

"Keadaan ini juga menunjukkan kapasiti penggunaan katil di semua hospital awam di seluruh negeri masih mencukupi dan belum mencapai tahap kritikal meskipun negara ketika ini berdepan ancaman kes influenza (ILI) dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dalam kalangan kanak-kanak," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, setakat ini, Perak mempunyai 5,370 katil operasi, sejumlah 462 bagi katil Covid-19 dan 22 lagi merupakan katil ICU.

Katanya, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh menyediakan kapasiti katil operasi tertinggi iaitu 1,097 diikuti Hospital Taiping (608), Hospital Teluk Intan (548), Hospital Seri Manjung (305) dan Hospital Slim River.

Artikel Berkaitan: