Individu hanya mirip wajah Zalina Azman

Individu yang didakwa mirip wajah OH disahkan individu berlainan. - Foto PDRM
Individu yang didakwa mirip wajah OH disahkan individu berlainan. - Foto PDRM
A
A
A

SHAH ALAM - Pencarian orang hilang (OH), Zalina Azman diteruskan selepas penemuan dan semakan cap jari terhadap seorang wanita yang wajahnya mirip dengan bekas pembaca berita TV3 itu disahkan sebagai individu lain.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mendakwa terlihat seorang wanita mirip seperti wajah OH di sekitar kawasan Jalan Haji Salleh, Sentul di Kuala Lumpur, lebih kurang jam 6 petang pada Jumaat.

"Polis Shah Alam telah menemui dan membawa wanita berkenaan ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Shah Alam dan hasil semakan identiti melalui cap jari, mendapati wanita tersebut bukanlah OH yang dicari.

"Pengecaman oleh ahli keluarga OH juga didapati negatif," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada 19 Julai, Sinar Harian melaporkan bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu masih tidak dapat dijumpai walaupun segala usaha mencari telah dilakukan.

Zalina Azman, 58, dilaporkan hilang ketika anak lelakinya, Mikhael Norman, 33, memaklumkan kehilangan ibunya pada 29 November tahun lepas.

Mikhael cuba menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

Polis dalam kenyataan berkata, hasil semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) pihaknya percaya OH masih berada di dalam negara.

Susulan itu, pihak polis telah merakam keterangan daripada beberapa individu termasuk seorang pengguna Twitter yang mendakwa terlihat individu mirip seperti OH tersebut.

Antara dakwaan tular dalam media sosial ialah seorang wanita mirip Zalina Azman pernah dilihat mengunjungi sebuah restoran dengan seolah-olah berada dalam keadaan tidak sihat dan menggigil ketakutan, baru-baru ini.

Satu lagi dakwaan tular ialah kelibat seorang wanita seperti Zalina Azman pernah dilihat di sekitar sebuah restoran makanan segera dengan membawa beg makanan dan beg pakaian, selain memakai kasut sukan, berjalan kaki, serta dalam keadaan sangat kurus.