Nilai tanah rizab Melayu masih rendah

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Nilai tanah rizab Melayu masih rendah kerana pasarannnya kepada orang Melayu sendiri menjadikan harganya murah dan tidak boleh dicagar untuk mendapatkan modal.

Beliau berkata, bagaimanapun nilai tanah itu meningkat apabila tanah berkenaan dibeli oleh mereka yang cekap dalam bidang perniagaan dan boleh membangunkan tanah itu.

“Umpamanya di Kuala Lumpur, satu kaki persegi harga RM7,000 sementara di luar bandar satu ekar RM200,000 hingga RM300,000,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian dalam program Di Sebalik Isu Bersama Finaz Yunus: Mengapa Melayu Jual Tanah yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian.

Jelasnya, satu kaki persegi ini dulu mungkin dimiliki oleh orang Melayu namun nilainya boleh meningkat jika tanah itu diperolehi oleh orang berniaga.

“Ada juga bangsa Melayu yang pandai berniaga, tetapi bilangan mereka amat kecil. Orang yang masuk dalam bidang perniagaan dan perusahaan, peluang-peluang ini diberikan kepada orang Melayu tetapi mereka tidak tahu untuk menggunakan peluang itu,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, peluang itu dijual kepada orang lain, maka pihak lain yang akan menerima segala kemudahan yang disediakan kerajaan supaya mereka ini bukan sahaja dapat cari makan tetapi juga kekayaan.

“Sekarang ini syarikat-syarikat Malaysia sudah berkembang sehingga mereka boleh bangunkan Australia, London. Semua itu boleh kita lakukan kalau kita cekap dalam bidang pengurusan,” katanya.