JDT II sekat hajat Kelantan FC kutip tiga mata penuh

PENDAHULU Liga Premier, Kelantan FC gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT). Foto Facebook/JOHOR Southern Tigers
PENDAHULU Liga Premier, Kelantan FC gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT). Foto Facebook/JOHOR Southern Tigers
A
A
A

PENDAHULU Liga Premier, Kelantan FC gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) II di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang Jumaat.

Skuad kendalian Rezal Zambery Yahya yang memulakan aksi dengan garang melalui asakan bertali-arus mendahului pada minit ke-20 menerusi sepakan penalti Nurshamil Abd Ghani selepas bola terkena tangan pemain pertahanan lawan Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri.

Namun, malang menimpa skuad The Red Warriors itu apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pemain tengah Jasmir Mehat diperintahkan keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-36.

Kesempatan itu dimanfaatkan JDT II apabila anak buah Mariano Echeverria hanya memerlukan lima minit selepas rehat untuk menyamakan kedudukan hasil penyudah Daryl Sham KK George.

Permainan terus rancak dengan Kelantan dan JDT II saling berbalas serangan dalam usaha memburu gol kemenangan, namun tiada jaringan berjaya dicipta menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati meraih satu mata.