Arca jerami tarikan Pesta Padi Antarabangsa Kampung Terus

Norlela (lima,kiri) bergambar bersama replika arca yang mengambil bahagian dalam pertandingan pada Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0.
Norlela (lima,kiri) bergambar bersama replika arca yang mengambil bahagian dalam pertandingan pada Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0.
A
A
A

PERMATANG PAUH - Pelbagai acara menarik menanti orang ramai sepanjang tiga hari penganjuran Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0 yang diadakan di Kampung Terus, Penanti di sini bermula Jumaat.

Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, antara tarikan di pesta padi kali ini seperti pertandingan membina arca jerami padi yang julung kali diadakan di negara ini.

Menurutnya, pada penganjuran sebelum ini arca jerami padi hanya dibina oleh penduduk kampung tetapi pada tahun ini pertandingan membina arca diadakan dengan menerima penyertaan peserta dari Selangor, Pahang, Perak, Kelantan dan Pulau Pinang.

"Untuk penganjuran akan datang kita bercadang membawa pertandingan ini pada peringkat antarabangsa dengan menjemput penyertaan dari luar negara seperti Jepun dan Taiwan,” katanya.

Norlela yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti berkata, kesemua arca jerami akan dikekalkan di Kampung Terus selepas pesta padi berkenaan berakhir.

Arca jerami padi menjadi antara tarikan di Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0
Arca jerami padi menjadi antara tarikan di Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0

“Sepertimana tarikan di Kampung Agong di Kepala Batas, di sini juga dapat dijadikan kawasan pelancongan apabila adanya arca jerami padi ini.

“Ini dapat merancakkan lagi industri pelancongan Pulau Pinang sekali gus membantu menjana ekonomi rakyat khususnya orang-orang kampung,” katanya.

Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang bermula Jumaat akan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada Ahad.

Selain pertandingan arca jerami padi, terdapat pelbagai lagi aktiviti menarik yang disediakan sepanjang tiga hari pesta berkenaan berlangsung termasuk pameran dan jualan, aktiviti serta pertandingan warisan padi, aktiviti riadah, larian Sungai Penanti, persembahan khas dan lain-lain.