Pengasas kelab komedi tidak mengaku buat hantaran jelik

Mohamad Rizal (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.
Mohamad Rizal (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengasas dan pemilik bersama sebuah kelab komedi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tiga pertuduhan menghantar komunikasi jelik melalui laman Facebook, Instagram dan Tiktok, dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.

Rizal sekalu orang kena saman (OKS) didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik di Facebook atas nama Rizal Van Geyzel, Instagram (Rizalvangeyzel) dan Tiktok (Rizalvangeyzel) dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada 4 hingga 6 Julai lalu.

Ia telah dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada jam 1.17 petang, 13 Julai lalu.

Mohamad Rizal yang berkemeja putih dan memakai seluar biru didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta yang sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu, diteruskan selepas pensabitan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Noor, Haslinda Che Seman tidak mencadangkan sebarang ikat jamin kerana kesalahan yang dipertuduhkan termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.

"Kes ini sangat serius yang mana ia menyentuh isu perkauman, namum jika mahkamah mahu menawarkan ikat jamin, kami mencadangkan ia ditetapkan sebanyak RM30,000 untuk kesemua pertuduhan.

"Pihak kami juga memohon syarat tambahan iaitu OKS perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak boleh membuat komen serta hantaran di mana-mana media sosial sepanjang kes ini berjalan," katanya.

Bagaimanapun, peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Mohamad Rizal, merayu kepada mahkamah supaya anak guamnya selepaskan dengan ikat jamin.

"Anak OKS menghidap dyslexia iaitu masalah pembelajaran membabitkan kesukaran membaca selain bapanya penghidap kanser," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Nor Hasniah membenarkan OKS dijamin RM12,000 bagi semua pertuduhan dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pada 14 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan, PDRM menahan seorang lelaki disyaki pengasas bersama sebuah kelab komedi berhubung penularan dua klip video di premis berkenaan yang dikatakan menyentuh sensitiviti dan berbaur perkauman.

Suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.