Guru direman kes cabul murid perempuan

PDRM
PDRM
A
A
A

LANGKAWI – Seorang guru lelaki direman selama seminggu untuk membantu siasatan atas dakwaan mencabul seorang murid perempuan berusia 12 tahun di sebuah sekolah di Langkawi.

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, tangkapan dibuat ke atas suspek berusia 48 tahun itu susulan laporan oleh ibu mangsa pada Rabu.

“Satu laporan polis telah diterima pada Rabu mengenai seorang pelajar perempuan berumur 12 tahun di sebuah sekolah kebangsaan yang mendakwa dicabul oleh seorang guru lelaki dari sekolah yang sama.

“Pada tengah hari Rabu, satu tangkapan telah dibuat ke atas suspek dan dia telah direman selama satu minggu mulai 21 Julai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas Shariman, kes tersebut disiasat di bawah seksyen 14/a Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Menurutnya, semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes tersebut.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Polis Langkawi kini sedang mengesan seorang lelaki yang mabuk dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam di pulau berkenaan.

Tambahnya, siasatan awal mendapati lelaki itu dan rakan-rakannya adalah pelancong tempatan dan telah keluar dari Pulau Langkawi.

“Susulan tular di media sosial mengenai tindakan seorang lelaki yang duduk di atas bumbung sebuah kereta pelbagai guna (MPV), satu laporan polis telah dibuat serta siasatan dibuat di bawah Seksyen 21 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mabuk dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

“Tindakan sedang diambil untuk mengesan suspek dan saksi-saksi bagi membantu siasatan,” ujarnya.