Yob Umbut selamat dipindahkan

Pasukan Perhilitan Perak dan Pahang berjaya memindahkan Yob Umbut ke Taman Negara Terengganu. - Foto ihsan pembaca
Pasukan Perhilitan Perak dan Pahang berjaya memindahkan Yob Umbut ke Taman Negara Terengganu. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

GERIK - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya memindahkan seekor gajah jantan yang dipercayai merosakkan tanaman penduduk di Kampung Lalang di sini pada Rabu.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, haiwan dianggarkan berusia antara 25 dan 27 tahun itu dilaporkan turut mengganggu tanaman di Kampung Umbut dan Kampung Bongor berhampiran.

"Aduan gangguan gajah ini mula diterima pada penghujung April lalu. Selama tiga bulan menjejaki kumpulan ini akhirnya gajah yang diberi nama Yob Umbut berjaya ditangkap oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) Gerik pada Ahad.

"Siasatan mendapati gajah ini merupakan kumpulan ID Temenggor yang melibatkan antara lima hingga enam ekor," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Menurutnya, mamalia seberat 2.5 tan itu dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan stabil.

"Seramai 23 anggota termasuk pasukan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang terlibat dalam operasi yang bermula pada jam 10 pagi itu.

"Yob Umbut dipindahkan kemudiannya dilepaskan ke habitat lebih selamat di Taman Negara Terengganu," katanya.