Isu tuntutan waris Kesultanan Sulu perlu kerjasama semua

Suasana kecoh ahli-ahli parlimen pembangkang di Dewan Rakyat pada Selasa. - Foto Bernama
Suasana kecoh ahli-ahli parlimen pembangkang di Dewan Rakyat pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

DESAKAN supaya isu tuntutan waris Kesultanan Sulu dibincangkan di Parlimen telah ditolak oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun amat mengecewakan.

Walaupun Azhar Azizan menjelaskan bahawa beliau membuat ketetapan itu sebagai tanggungjawab untuk bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara kerana dikhuatiri akan mendedahkan langkah yang sedang diambil kerajaan tentang prosiding litigasi yang sedang berjalan.

Namun, ia boleh dilakukan secara tertutup dengan ahli-ahli Parlimen bagi membolehkan mereka mendapat penjelasan berhubung isu yang sangat penting itu.

Waris Kesultanan Sulu itu hampir berjaya menyita aset Petronas di Azerbaijan dengan nilaian AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) namun tidak berjaya kerana aset tersebut telah pun dijual.

Tetapi harus diingat bahawa masih terdapat aset-aset lain yang dimiliki kerajaan kini berada dalam bahaya.

Peristiwa Lahad Datu meninggalkan sejarah hitam buat Malaysia apabila ramai perwira negara gugur mempertahankan kedaulatan negara daripada dicerobohi pengganas Sulu pada 2013.

Tragedi pencerobohan itu dikaitkan dengan insiden diplomatik yang berlaku antara Malaysia dan Filipina sejurus selepas 235 pengganas Filipina yang sebahagiannya bersenjata mendarat di Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah pada 11 Februari 2013.

Kumpulan tersebut yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Askar Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara' telah dihantar oleh Jamalul Kiram III yang merupakan salah seorang daripada pihak yang menuntut takhta Kesultanan Sulu dan mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu.

Angkatan ‘Raja Muda’ Agbimuddin Kiram itu yang merupakan saudara lelaki kepada ‘Sultan Sulu’ Jamalul Kiram III menceroboh masuk Sabah dengan alasan ingin menuntut Sabah kembali menjadi wilayah Kesultanan Sulu.

Sudah tentu kejadian yang berlaku ini meninggalkan kesan yang mendalam kepada seluruh rakyat terutama ahli keluarga 12 orang anggota keselamatan negara yang terkorban dalam kejadian tersebut.

Justeru itu, kita mahu sebarang perbuatan salah menyalah di antara satu sama lain dihentikan dan semua pihak bersama-sama mencari penyelesaian terhadap isu tersebut.

Ini bukan waktu terbaik untuk berbalah tetapi kerajaan dan pembangkang perlu bersama hadapinya.