TNB tanam lebih 70,000 pokok sejak 2009

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (berpakaian serba putih) turut menanam anak pokok rhu ketika menyempurnakan Program Pemulihan Ekosistem Zon Penampan Majlis Bandaraya Kuantan, pada Isnin lalu.

A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menanam lebih 70,000 pokok di pesisiran pantai, sungai, hutan dan taman awam sejak tahun 2009 sebagai komitmen berterusan dalam memperkayakan habitat flora dan fauna negara.

TNB menerusi kenyataan pada Rabu memaklumkan, lebih 32,000 pelbagai jenis bakau ditanam di pesisiran pantai Semenanjung, lebih 16,000 pokok hutan dan nadir di Koridor Laluan Hijau iaitu Laluan Hidupan Liar (Wildlife Corridor Replanting Program) dan kira-kira 12,000 pokok teduhan di taman-taman awam.

“Dianggarkan 70,000 pokok ini mampu menyerap sehingga 1,470 tan karbon dioksida setahun, sekali gus mengurangkan kadar pelepasan karbon dalam negara.

“Penanaman dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan Persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan (NGO) ini menyatakan komitmen TNB terhadap isu Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam melindungi bumi agar rakyat terus menikmati kehidupan lebih berkualiti dan lestari,” katanya.

Menurutnya, TNB pada Isnin menaja 3,300 anak-anak pokok untuk ditanam di lapan lokasi di kawasan pesisir pantai dan Sungai Kuantan dalam menyokong Program Pemulihan Ekosistem Zon Penampan Majlis Bandaraya Kuantan.

Perasmian program itu disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Pusat Rekreasi Pantai Chendor, Kuantan.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan, Datuk Hamdan Hussin dan Pengurus Besar TNB Pahang, Datuk Baderul Sham Saad.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kanan) dan Pengurus Besar TNB Pahang, Datuk Baderul Sham Saad (kiri) serta warga kerja TNB, Majlis Bandaraya Kuantan dan sukarelawan selepas menanam pokok pada Program Pemulihan Ekosistem Zon Penampan Majlis Bandaraya Kuantan.

Sementara itu, Baderul berkata, program pemuliharaan alam sekitar, khususnya penanaman pokok-pokok bagi menghijaukan bumi bukanlah asing kepada TNB yang sejak dari dahulu lagi berbuat demikian, khususnya di kawasan-kawasan sekitar stesen janakuasa.

“Ia menjadi semakin fokus apabila TNB menjadikan pemuliharaan alam sekitar sebagai antara pengisian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) termasuk penggantian pokok di kawasan talian penghantaran, penanaman di taman-taman awam, di pesisiran pantai, kawasan pembiakan kelip-kelip dan di Koridor Laluan Hijau,” ujarnya.

Jelas beliau, benih bakau seperti bakau minyak atau nama saintifiknya Rhizophora Apiculata dan Bakau Kurap (Rhizophora Mucronata) ditanam di pantai-pantai Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bagi mencegah hakisan pantai dalam jangka masa panjang.

“Inisiatif mewujudkan laluan hijau di hutan Hulu Terengganu dengan penanaman pelbagai pokok hutan dan rumput Nappier pula membolehkan hidupan liar terutama gajah, kekal bebas dan mendapat bekalan makanan secukupnya.

“Pelbagai spesies pokok ditanam bagi meneduhkan persekitaran taman-taman awam di semua negeri di Semenanjung melalui Program ‘Tree For Tree’ dengan hampir 3,000 pokok gantian di kawasan talian penghantaran serta 1,800 pohon berembang di kawasan pembiakan kelip-kelip di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Terengganu,” katanya.