Kenari terbang tinggi di Darul Aman

Mahmoud menjaringkan dua gol bagi membantu kemenangan KDA FC. - Foto FB Kedah Darul Aman FC
Mahmoud menjaringkan dua gol bagi membantu kemenangan KDA FC. - Foto FB Kedah Darul Aman FC
A
A
A

SKUAD Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melonjak ke tangga keempat Liga Super hasil kemenangan 3-1 ke atas Sarawak United di Stadium Darul Aman, malam ini.

Penyerang import, Mahmoud Al-Mardi muncul wira skuad Kenari apabila meledak dua gol bagi membantu kemenangan berkenaan manakala satu gol lagi dijaringkan oleh seorang lagi penyerang import, Ronald Ngah.

Bermula garang sebaik wisel permulaan, KDA FC tidak perlu menunggu lama untuk merobek gawang pelawat apabila Mahmoud membuka jaringan pada minit ke-9.

Jaringan itu dilihat semakin menyemarakkan semangat pemain skuad Hijau Kuning untuk menambah jaringan, namun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan hingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan Sarawak United mula menggandakan asakan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan pemain import, Uche Agba pada minit ke-53.

Jaringan penyamaan itu bagaimanapun dilihat tidak berjaya menyekat asakan-asakan daripada KDA FC ke gawang Sarawak United dalam usaha menambah jaringan.

Asakan yang dilancarkan itu akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang import, Ronald Ngah merembat leret dari luar kotak penalti untuk gol kedua KDA FC pada minit ke-75.

Skuad Hijau Kuning kemudiannya dilihat semakin bersemangat mengatur asakan ke gawang Sarawak United dan hasilnya, Mahmoud berjaya menjaringkan gol ketiga yang juga gol kedua peribadinya hasil percubaan cantik dari luar kotak penalti.

Biarpun ketinggalan tiga gol, kesebelasan Sarawak United dilihat masih bersemangat untuk mengatur asakan ke gawang KDA FC untuk sekurang-kurangnya merapatkan jurang gol.

Bagaimanapun, asakan-asakan berkenaan gagal menepati sasaran selain dikekang dengan baik oleh benteng pertahanan KDA FC hingga tamat perlawanan.