Kedah alu-alukan KeTSA ketuai jawatankuasa siasatan banjir di Baling

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah mengalu-alukan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bagi mengetuai agensi-agensi berkaitan dalam menjalankan siasatan berhubung kejadian banjir di Baling baru-baru ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya menyambut baik perkara yang dimaklumkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan melalui sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Isnin.

"Saya memberi jaminan bahawa semua agensi kerajaan negeri akan memberi kerjasama penuh terhadap jawatankuasa berkenaan dalam apa jua aspek siasatan yang diperlukan.

"Adalah menjadi harapan kita semua agar jawatankuasa ini dapat melaksanakan tugasan dan tanggungjawab mereka bagi mencari punca serta penyelesaian secara tuntas terutama dalam usaha mengelak tragedi seperti ini berulang pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, media melaporkan KeTSA akan mengetuai agensi-agensi berkaitan bagi menjalankan siasatan berhubung kejadian banjir di Baling, Kedah baru-baru ini.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pihaknya baharu menerima arahan berkenaan daripada Pejabat Perdana Menteri melalui Pejabat Setiausaha Negara.

Perkara itu dimaklumkan Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan melalui sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 bagi bacaan kali kedua, di Dewan Rakyat pada Isnin.