Dewan Rakyat lulus pindaan jadikan Segamat sebahagian ECER

Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan RUU Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022.
Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan RUU Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022 bagi menjadikan daerah Segamat, Johor sebagai sebahagian daripada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

RUU tersebut diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith dan turut dibahas oleh sembilan ahli Parlimen.

"Rang undang-undang ini bertujuan untuk memohon Jemaah Menteri menimbang dan bersetuju dengan pindaan kepada Seksyen 4 Akta Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur 2008,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu.

Akta Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur 2008 (Akta 688) dipinda dalam seksyen 4 dengan menggantikan perkataan ‘Daerah Mersing’ kepada perkataan ‘Daerah-Daerah Mersing dan Segamat.’

Menurut Eddin Syazlee, kerajaan menyasarkan daerah Segamat bakal diketengahkan sebagai lembah bio-agro melalui ECER dengan memanfaatkan sektor bioteknologi dan perniagaan tani bagi meningkatkan aktiviti perniagaan.

"Selain itu, daerah tersebut juga dikenal pasti sebagi hab perniagaan tani dengan pelbagai inisiatif bagi memastikan kecekapan tani di kawasan itu dapat dipertingkat,” katanya. - Bernama