Sabah bakal keluarkan minyak masak sendiri

Shahelmey
Shahelmey
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kumpulan Sawit Kinabalu akan mengeluarkan minyak masaknya sendiri sebelum hujung tahun ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, langkah itu bertujuan menambah bekalan minyak masak di negeri ini.

"Kumpulan Sawit Kinabalu juga akan mengeluarkan minyak masak jenama Sayang sebelum hujung tahun ini bagi menambah bekalan minyak masak di pasaran," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) berhubung langkah kerajaan negeri bagi mengatasi masalah kenaikan harga barangan keperluan yang membebankan rakyat.

Shahelmey sebelum itu memaklumkan bahawa Sabah telah mendapat tambahan kuota minyak masak peket satu kilogram berjumlah 5,661 metrik tan sebulan.

"Daripada jumlah kuota bulanan 5,661 metrik tan itu, sebanyak 150 metrik tan sebulan diagihkan kepada syarikat Sabaras Sdn Bhd yang merupakan syarikat membungkus semula bagi peket minyak masak jenama Onsoi.

"Baki kuota bulanan 5,511 metrik tan diagihkan kepada 35 syarikat membungkus semula minyak masak peket pelbagai jenama yang lain," katanya.

Sementara itu, bagi menjawab soalan daripada Assafal P Alian (Warisan-Tungku) berhubung langkah yang telah diambil kerajaan bagi menangani isu penyeludupan minyak, Shahelmey berkata, pihaknya bersama dengan KPDNHEP menjalankan Ops ATM (ayam, telur dan minyak masak), Ops Anti Sorok bagi memastikan bekalan minyak masak paket bersubsidi ada di pasaran.

"Kita faham dengan jumlah kuota yang ada sepatutnya pengguna dapat dengan mudah minyak masak peket bersubsidi di kedai-kedai runcit yang ada di seluruh negeri kita.

"Bagaimanapun hasil operasi pihak berkuasa seperti KPDNHEP dibantu anggota keselamatan, kita dapati antara punca utama ketiadaan atau kekurangan minyak masak peket bersubsidi itu adalah disebabkan oleh penyelewengan atau ketirisan," katanya.

Sehubungan itu, Shahelmey meminta rakyat sama ada penjawat awam, sektor korporat ataupun peniaga sendiri perlu memainkan tanggungjawab sebagai pengguna.

"Sebagai pengguna yang tahu haknya sepatutnya tidak membeli barang-barang keperluan melebihi harga kawalan. Langkah kerajaan adalah melakukan banyak operasi-operasi membanteras penyelewengan," katanya.