Dua skim penipuan pelaburan dikesan libatkan kerugian RM1.37 juta

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis membuka sebanyak 70 kertas siasatan berkaitan skim penipuan pelaburan BTC financial trading / finance trader dan smart trader best exchange yang membabitkan kerugian lebih RM 1.37 juta.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, sejumlah 22 kertas siasatan telah dibuka terhadap skim pelaburan BTC financial trading/ finance trader sehingga Isnin dengan jumlah kerugian sebanyak RM 708,400.

"Bagi skim pelaburan smart trader best exchange pula, sejumlah 48 kertas siasatan telah dibuka melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM661,672.16," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Noorsiah berkata, kedua-dua skim pelaburan ini menggunakan aplikasi Telegram dan WhatsApp untuk mencari mangsa pelaburan.

"Mangsa dijanjikan pulangan sekitar 50 peratus hingga 100 peratus dalam tempoh tiga hingga enam jam setelah pelaburan dibuat," katanya.

Menurutnya, mangsa yang berminat akan diminta untuk membuat pendaftaran melalui pautan yang diberikan seterusnya membuat pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh pihak sindiket.

"Mangsa kemudiannya akan dimaklumkan telah mendapat keuntungan, namun dikenakan pelbagai syarat tambahan sekiranya ingin membuat pengeluaran," katanya.

Beliau berkata, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan lumayan.

"Maklumat lanjut mengenai tawaran pelaburan boleh diperoleh dari sumber-sumber rasmi seperti Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan," ujarnya.