[VIDEO] 24 cabang PKR Perak buat laporan polis terhadap Najib

Sebanyak 24 Cabang PKR Perak buat laporan polis terhadap Najib pada Selasa.
Sebanyak 24 Cabang PKR Perak buat laporan polis terhadap Najib pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Semua 24 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan kecuaiannya sehingga menyebabkan Malaysia berdepan tuntutan RM67.5 bilion daripada waris kesultanan Sulu.

Laporan berkenaan dibuat pada Selasa di beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis seluruh negeri bermula jam 9 pagi.

PKR negeri yang diwakili Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, antara Cabang yang telah membuat laporan polis adalah Kuala Kangsar, Padang Rengas, Parit, Lumut, Gopeng, Batu Gajah, Kampar, Tapah dan Tanjung Malim.

Menurutnya, semua laporan dibuat serentak hari ini sebagai tanda mengecam sekeras-kerasnya sikap Najib yang mengelirukan rakyat dan menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) atas tuntutan tersebut.

"Saya harap laporan dibuat ini membolehkan kertas siasatan dibuka untuk memastikan penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh ketelitian dan tanpa kecuaian yang boleh merugikan rakyat dan negara," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di IPD Ipoh di sini pada Selasa.

Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Kuala Kangsar berkata, pimpinan negeri turut mendesak tindakan supaya pihak berkuasa menyiasat Najib di bawah peruntukan kanun jenayah sedia ada.

Katanya, Akta 574 dan peraturan-peraturan yang mengikat seorang penjawat awam semasa dalam perkhidmatan seperti Perkara 132 (Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam) dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di bawah Perlembagaan Persekutuan (P.U.A 395) boleh diguna pakai dalam menentukan unsur-unsur kecuaian yang dilakukan Ahli Parlimen Pekan itu dalam menangani isu berkenaan.

"Keputusan menghentikan bayaran pampasan dibuat oleh pentadbiran Najib pada 2013 semasa beliau masih memegang jawatan perdana menteri dan tindakan undang-undang telah dikemukakan pada 2017 oleh waris Sultan Sulu sebelum PH mengambil alih kerajaan lagi," katanya.