PGA cekup tekong, PATI baru tiba dari Medan

Antara PATI yang ditahan dalam PGA di Jalan Pinang Sungai Yu, Kuala Selangor pada Isnin.
Antara PATI yang ditahan dalam PGA di Jalan Pinang Sungai Yu, Kuala Selangor pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kegiatan tekong warga tempatan yang menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) terbongkar apabila ditahan dalam Op Nyah Selangor di Jalan Pinang Sungai Yu di sini pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan pada jam 9 pagi.

"Siasatan awal mendapati tekong warga tempatan ini baru tiba dari Medan, Indonesia membawa seramai 21 PATI terdiri daripada 15 lelaki dan enam wanita.

"Kesemua PATI berkenaan dipercayai baru tiba ke negara ini menggunakan laluan laut dan sedang menunggu tekong darat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Ambia berkata, bagaimanapun, anggota PGA yang melakukan rondaan di kawasan terbabit menemui sekumpulan mereka yang dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil siasatan lanjut mendapati semua PATI tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan masuk ke negara ini melalui jalan laut yang tidak diwartakan," katanya.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut terhadap tekong terbabit.

Ujar beliau, kesemua tangkapan dibawa ke Pos PGA Bagan Pasir untuk proses dokumentasi serta tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.