Kanak-kanak 4 tahun maut jatuh tingkat 35 kondominium

Seorang kanak-kanak warga Indonesia berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 35 sebuah kondominium di Ampang, pada Isnin.
Seorang kanak-kanak warga Indonesia berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 35 sebuah kondominium di Ampang, pada Isnin.
A
A
A

AMPANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut terjatuh dari tingkat 35 sebuah kondominium di Pandan Perdana di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis dimaklumkan kejadian itu selepas menerima panggilan daripada pengawal keselamatan kondominium berkenaan kira-kira jam 2.20 petang.

Katanya, siasatan mendapati, mangsa warga Indonesia dibawa ibunya yang bekerja sebagai pembantu rumah sambilan.

"Sebelum kejadian, ibu mangsa berusia 36 tahun telah meninggalkan anaknya yang sedang tidur di ruang tamu rumah sebelum turun ke bawah untuk membasuh pakaian di dobi.

"Semasa berada di bawah, ibu mangsa melihat orang ramai berkerumun di kawasan tingkat bawah dan mendapati mangsa adalah anaknya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, dipercayai mangsa telah bangun dari tidur dan membuka 'sliding door' sebelum memanjat kerusi yang berada di balkoni.

Tambahnya, mangsa adalah anak bongsu daripada tiga beradik.

"Mayat kanak-kanak itu telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," ujarnya.

Katanya lagi, pihak polis menasihati orang ramai supaya menjaga tingkah laku anak-anak dengan tidak meletakkan sesuatu yang mendatangkan bahaya kepada anak-anak.