'Rumah kami sahaja yang banjir'

A
A
A

IPOH - Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa untuk melihat semula keadaan longkang yang didakwa menjadi punca banjir kilat melibatkan dua rumah penduduk di Jalan Kemuning, Kampung Sungai Tapah, Manjoi di sini.

Penduduk, Yang Radzipah Jamaluddin, 73, berkata, keadaan itu menyebabkan mereka tidak dapat tidur lena setiap kali hujan apabila rumah sering dinaiki air sejak 30 tahun lalu.

"Keadaan ini berlaku sejak longkang dibina. Sebelum ini tidak pernah kerana kawasan ini tinggi berbanding rumah penduduk lain.

"Sejak itu, apabila hujan rumah kami digenangi air hingga menyebabkan limpahan air najis dari tandas. Boleh dikatakan setiap bulan mesti banjir kilat hingga paras lutut," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan termasuk membina tembok penghalang air dan membuat aduan.

"Masa muda saya masih boleh mengemas dan membersihkan lumpur dicampur najis tetapi sekarang ini sudah tua, sudah tidak larat.

"Kerugian memang banyak kerana perabot tidak boleh diguna manakala kelengkapan elektrik sudah banyak rosak. Belum habis hutang seperti peti ais dan mesin basuh, kini kembali rosak. Sampai bila kami hendak tanggung keadaan ini," katanya.

Bagi Salasiah Monin, 68, dia tinggal di kawasan itu sejak sembilan tahun lalu tidak mampu untuk menyewa rumah baharu.

"Wang simpanan habis untuk beli rumah ini dan ketika itu saya tidak tahu yang kawasan ini rupa-rupanya sering banjir.

"Saya hanya bertahan sahaja dengan bina tembok untuk menghalang air masuk. Itu sahaja cara yang ada," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Tersusun Sungai Tapah/Seberang, Abdul Salim Mohd Salleh berkata, penyelenggaraan terakhir dilakukan oleh PBT adalah Oktober tahun lalu.

"Saya sering menerima aduan dan masalah ini telah diajukan kepada semua pihak yang terlibat tetapi tiada jalan penyelesaian kekal diambil.

"Difahamkan pihak berkaitan mahu membina longkang baharu tetapi tidak tahu setakat mana perkembangan projek itu. Kita minta perhatian PBT untuk atasi masalah ini," katanya.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan akan melakukan semakan mengenai aduan tersebut.