Inkues Adib: 12 tangkapan dibuat polis

Pegawai Penyiasat Kanan IPD Subang Jaya, Asisten Superintendan Lew Keng Joe,keluar dari bilik saksi selepas memberi keterangan bagi Kes Inquest BA-65A-2-12/2018 Kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim di Makamah Sesyen 8, Kompleks Makamah Shah Alam. FOTO: ZAHID IZZANI
Pegawai Penyiasat Kanan IPD Subang Jaya, Asisten Superintendan Lew Keng Joe,keluar dari bilik saksi selepas memberi keterangan bagi Kes Inquest BA-65A-2-12/2018 Kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim di Makamah Sesyen 8, Kompleks Makamah Shah Alam. FOTO: ZAHID IZZANI
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 12 tangkapan dibuat polis bagi membantu siasatan berhubung anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 November lalu.

Pegawai Penyiasat Kanan Polis, Asisten Superintendan Lew Keng Joe berkata, daripada jumlah itu, enam tangkapan pertama adalah termasuk saksi prosiding inkues Nasaruddin Abdullah yang berada di sekitar lokasi kejadian.

"Baki enam lagi adalah individu dipercayai terbabit dalam kes pecah bangunan One City," katanya.

Menurutnya, sebahagian suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan bon jaminan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

"12 tangkapan ini memang mereka di persekitaran kuil tetapi hasil rakaman percakapan dan soal siasat mendapati mereka tidak terbabit dalam kejadian," katanya.

Beliau berkata, hanya dua suspek iaitu Ganesh dan Nasaruddin yang berada berdekatan.

Dalam prosiding itu, saksi ke 28 itu memberitahu setakat ini, seramai 61 saksi termasuk 21 orang awam memberi keterangan, namun tiada satu saksi pun yang melihat mangsa dipukul, ditendang atau disepak.

"Hanya lihat ada pergerakan seperti memukul, tetapi tidak lihat sesiapa ada yang menjadi mangsa," katanya pada pemeriksaan utama oleh Pegawai Pengendali Inkues Faten Hadni Khairuddin.

Artikel Berkaitan:

Keng Joe berkata, Bukit Aman ada membuat hebahan dengan menyiarkan gambar 66 individu yang tidak diketahui identitinya bagi membantu siasatan kes Muhammad Adib, rusuhan dan pecah bangunan One City, namun sehingga kini tiada seorang pun tampil.

Prosiding hari ke-21 di hadapan Koroner Rofiah Mohamad ditangguhkan dan bersambung Rabu ini.